Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DAP mahu kuasai bandar besar melalui pilihan raya PBT - PAS

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa objektif utama DAP mencadangkan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) diadakan adalah bagi memenuhi agenda mereka.

Katanya, DAP juga konsisten memperjuangkan agar pilihan raya PBT dilaksanakan bagi menguasai bandar-bandar besar yang menjadi pusat ekonomi rakyat.

"Dari dulu hingga sekarang, DAP konsisten untuk mengadakan pilihan raya PBT. Ini bagi merealisasikan agenda mereka menguasai bandar-bandar besar yang mempunyai pendapatan besar dan juga pusat ekonomi rakyat.

"Kita perlu tahu, jika pilihanraya PBT diadakan, ia membuka ruang kepada berlakunya polarisasi kaum lebih besar dan ketara antara penduduk bandar dan luar bandar.

"Ia bukan hanya melibatkan penguasaan terhadap hasil-hasil ekonomi sesebuah bandar yang tidak seimbang, malahan juga kuasa politik Melayu-Islam akan terhakis," katanya melalui satu hantaran di laman sosial Facebook miliknya, hari ini.

Cadangan mengenai pilihan raya PBT itu disuarakan Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai (gambar, atas) pada 17 Disember lalu.

Ahli parlimen Cheras itu berkata, pengenalan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur bertujuan untuk kelestarian dan memberi pilihan kepada penduduk memilih ahli majlis tempatan.

Bagaimanapun cadangan itu tidak dipersetujui ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Ahmad Maslan yang menyifatkan negara ini sudah ada banyak pilihan raya.

"Cukuplah pilihan raya negeri dan parlimen, kenapa perlu ada pilihan raya satu lagi,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa (gambar, atas) turut memaklumkan perkara itu bukan menjadi keutamaan buat masa ini.

Zaliha turut berkata, cadangan berkenaan akan dibincangkan terlebih dahulu dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim menjelaskan keputusan kerajaan memansuhkan pilihan raya PBT mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976, kira-kira 50 lalu adalah tepat.

PAS tak boleh tolak ansur

Ia antara lain bertujuan menghindari penguasaan Kerajaan Tempatan oleh satu-satu kumpulan etnik bagi menutup kemungkinan berlakunya ketegangan dan ketidakharmonian kaum dalam masyarakat.

"Saya melahirkan kebimbangan dengan kenyataan YB Menteri Wilayah (Dr Zaliha) yang membuka laluan perbincangan untuk melaksanakan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur.

"Sepatutnya perkara ini tidak perlu diberi perhatian oleh beliau dan agenda kesejahteraan rakyat bandar patut menjadi fokus utama.

Menurut Tuan Ibrahim, PAS tidak boleh bertolah ansur dengan desakan mengadakan pilihan raya PBT ini.

"Kerana bimbang bila kita terlalu baik (bertolak ansur), lama-lama kita ditolak beransur-ansur," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berpandangan pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak perlu lagi dibimbangi dari sisi perkauman.

Pengerusinya Muhammad Faisal Abdul Aziz (gambar, atas) berkata penduduk Kuala Lumpur pada hari ini adalah berbilang kaum dengan Melayu menjadi majoriti.

“Saya fikir dalam konteks semasa, demografi bandar sudah tidak sama dengan tahun 1960-an memandangkan pada zaman tersebut kita mewarisi barah pecah dan perintah yang ditinggalkan penjajah Inggeris yang sengaja membiarkan kaum Cina berada di bandar, Melayu di kampung dan India di ladang getah,” jelasnya.

Tegas bekas presiden Abim itu, tidak boleh nafikan kebaikan pilihan raya PBT kerana ia akan memperkasa suara rakyat dalam membawa isu setempat selain memastikan peningkatan nilai kebertanggungjawaban pihak berkuasa.

“Ia juga secara tidak langsung akan meringankan kerja ahli Parlimen dan Adun yang sebelum ini terpaksa menyelesaikan semua isu setempat melibatkan sampah sarap, longkang tersumbat dan sebagainya, sedangkan tugas mereka adalah untuk menggubal serta menyemak undang-undang dan dasar penting negara.

Terdapat 151 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara, dengan 19 darinya berstatus majlis bandar raya atau dewan bandar raya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS