Presiden Dewan Negara atau Senat, Wan Junaidi Tuanku Jaafar tiada masalah dengan cadangan memperkenalkan pilihan raya untuk memilih anggota dewan itu, tetapi berkata, peluang kepada golongan minoriti menjadi wakil mesti dikekalkan.

Utusan Malaysia memetiknya sebagai berkata, peranan Dewan Negara bukan sahaja sekadar mengkaji semula dan meluluskan sebarang rang undang-undang yang dibawa Dewan Rakyat. Sebaliknya, ia membawa suara kumpulan tertentu yang tidak dipilih secara pilihan raya dapat diketengahkan untuk perhatian kerajaan.

Ketika ini, antara kumpulan yang diwakili di Dewan Negara ialah kumpulan orang kurang upaya dan Orang Asli serta penduduk minoriti Thai di negara ini.

“Tujuan Dewan Negara ini sebenarnya untuk mengetengahkan individu yang tidak terpilih secara pilihan raya sebagai wakil. Misalnya Orang Asli, seorang wakil mereka dilantik sebagai senator agar suara dan pandangan mereka dapat diangkat di dalam Parlimen.

“Jika diadakan pilihan raya, maka ia tidak menepati semangat asas Dewan Negara itu sendiri, bagaimana pula dengan golongan minoriti dan wakil profesional? 

“Bagi saya, tiada masalah (mengadakan pilihan raya Dewan Negara) tetapi bukan semua dan perlu ada ruang untuk wakil kumpulan tertentu untuk dilantik sebagai senator,” katanya.

Pada 18 Disember lalu, sekumpulan 16 NGO menggesa kerajaan supaya menegakkan demokrasi dengan mengadakan pilihan raya untuk memilih ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT), senator Dewan Negara dan anggota jawatan kuasa kepimpinan masyarakat setempat.

Kata mereka, amalan sedia ada yang memberi kuasa kepada kerajaan persekutuan dan negeri dalam memilih dan melantik perwakilan perlu dihentikan.

Berdasarkan Perkara 45 (2) Perlembagaan Persekutuan, keanggotaan 70 ahli Dewan Negara terbahagi kepada dua iaitu 26 individu dipilih oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai wakil 13 negeri iaitu masing-masing dua wakil, manakala baki 44 ahli dilantik Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri, termasuk dua dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan satu ahli masing-masing dari Labuan dan Putrajaya.

“Tidak boleh kata, senator dilantik secara terus kerana ada sebahagian dilantik secara pemilihan yang dilakukan di peringkat negeri,” kata Wan Junaidi.

Dalam itu, Wan Junaidi mencadangkan usia kelayakan keanggotaan Dewan Negara hendaklah diturunkan di bawah had minimum 30 tahun untuk membuka lebih banyak peluang kepada belia untuk menjadi wakil dalam Parlimen.

“Jika negara mahu ada wakil belia di Parlimen, had usia kelayakan Senator perlu diturunkan daripada 30 tahun dengan melakukan pindaan Perkara 47 (a) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Wan Junaidi seterusnya menolak persepsi sesetengah pihak yang mendakwa Dewan Negara hanya sebagai ‘rubber stamp’.

“Jika cakap kami ini Dewan Negara hanya ‘rubber stamp’, maka Dewan Rakyat pun sama kerana meluluskan sebarang undang-undang yang dibawa kerajaan tanpa menolak. 

“Jadi cakap-cakap kami rubber stamp ini, sebenarnya tidak faham proses penggubalan undang-undang negara ini,” katanya sambil menambah bahawa anggota Dewan Negara juga perlu memastikan kelulusan sebuah akta yang dibahas di Parlimen dibuat dengan licin dan mendalam sama ada di peringkat jawatankuasa atau mesyuarat.

Ini, katanya supaya undang-undang itu dapat berjalan dengan baik.