Selepas kira-kira empat bulan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memulangkan sebuah buku berkaitan pengasas komunis Karl Marx yang dirampas pada 18 Ogos lalu.

Benz Ali, pemilik Toko Buku Rakyat di Kuala Lumpur, berkata Karl Marx: Sang Pendidik Revolusioner tulisan Robin Small itu dipulang petang semalam oleh seorang pegawainya.

Bagaimanapun, katanya, buku Koleksi Puisi Masturbasi tulisannya sendiri tidak dipulangkan atas alasan masih dalam pemeriksaan.

“Ada perubahan sedikit bila KDN datang sendiri ke premis yang dirampas dan pulangkan buku yang dirampas. 

“Bagaimanapun sikap merampas buku masih budaya tercela,” katanya.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini mempertahankan rampasan itu yang menurutnya dibuat berdasarkan aduan awam.

"Istilah lebih tepat ialah kami pergi ambil dua buku saja, bukan (rampas) satu kedai, konotasi dibuat kononnya satu kedai dirampas sedangkan kami bertindak atas aduan awam,” katanya.

Rampasan itu dikritik oleh aktivis dan entiti politik termasuk Pemuda PKR dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) antaranya atas alasan antiilmu.

Bercakap kepada Malaysiakini petang ini, Benz Ali atau nama sebenarnya  Amir Hamzah Akal Ali menegaskan bahawa “buku harus dibahas bukan dirampas”. 

“Atau jika mahu haramkan KDN harus beli buku tersebut, buat siasatan baru buat pengharaman. 

“Bukan rampas dulu sebelum diharamkan,” katanya.