Shahrir saman Thomas, Latheefa, k'jaan atas pendakwaan berniat jahat
Bekas pengerusi Felda Shahrir Samad memfailkan saman terhadap bekas peguam negara, Tommy Thomas; bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya; SPRM dan kerajaan atas dakwaan melakukan pendakwaan berniat jahat.
Writ saman itu difailkan oleh Tetuan Fahri, Azzat & Co di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Dis lalu.
Dalam pernyataan tuntutan, Shahrir berkata dia juga menyaman pihak berkenaan kerana melakukan siasatan berniat jahat dan tangkapan secara salah.
Pada 5 Jan lalu, Shahril dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan gagal mengiytiharkan RM1 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri Najib Razak.
Ketika perbicaraan, saksi pendakwaan yang juga pegawai penyiasat SPRM, Nurzahidah Yacop dalam keterangannya memberitahu Thomas pada 2020 memberi kebenaran kepada Shahrir untuk didakwa di mahkamah walaupun kertas siasatan tidak lengkap.

Dalam samannya, bekas ahli parlimen Johor Bahru itu mendakwa Thomas gagal mengarahkan siasatan dilengkapkan sebelum memutuskan untuk memberi izin mendakwa.
"Tommy Thomas selaku AG pada masa itu, telah mengeluarkan izin mendakwa sekalipun kertas siasatan yang dikemukakan kepadanya masih belum lengkap," menurut pernyataan tuntutan berkenaan.
Shahrir juga mendakwa SPRM di bawah Latheefa ketika itu sengaja gagal dan enggan menyiasat keterangannya yang memaklumkan bahawa RM1 juta yang diterimanya adalah untuk tujuan membayar balik wang yang telah didahulukan daripada akaun simpanan peribadinya untuk pemulihan projek Puri Langkasuka.
"SPRM di bawah kawalan Latheefa telah dengan sengaja tidak membenarkan / mengarahkan IO (pegawai penyiasat) SPRM untuk menyiasat dari sudut ganti-balik.
"SPRM di bawah kawalan Latheefa tidak mengambil langkah untuk meminta LHDN menentukan status sama ada RM 1 juta tersebut adalah pendapatan untuk plaintif atau tidak, sebelum membuat pertuduhan kepada plaintif di Mahkamah;
"SPRM di bawah kawalan Latheefa telah membawa dan merujuk kertas siasatan yang belum lengkap kepada Tommy Thomas untuk mendapatkan arahan tuduh," kata Shahrir.

Shahrir berkata tindakan Thomas dan Latheefa selaku penjawat awam, atas perkara yang dinyatakan, adalah penyalahgunaan kuasa atau otoriti awam mereka.
Dakwanya, ia dilakukan dengan niat untuk mencedera, mencemar dan merosakan nama baik plaintif.
Justeru, pemimpin veteran Umno itu menuntut pampasan RM10 juta daripada defendan bagi penyeksaan mental, jiwa dan raga serta pampasan RM10 juta bagi kerosakan reputasi atau ganti rugi am serta ganti rugi tambahan berjumlah RM10 untuk ditaksirkan oleh Mahkamah.
Shahrir turut meminta permohonan maaf tanpa syarat yang disiarkan dalam bentuk satu muka surat penuh dalam akhbar utama nasional berbahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil, yang mana permohonan maaf itu perlu diluluskan oleh plaintif terlebih dahulu sebelum disiarkan.
Mahkamah menetapkan 26 Dis untuk pengurusan kes melalui e-Semakan.
Pada 13 Jan lepas, Shahrir dilapor membuat laporan polis terhadap Thomas atas dakwaan salah guna kuasa berhubung kes pengubahan wang haram berjumlah RM1 juta.
Dia juga mendakwa di Facebook bahawa Thomas telah mengheretnya ke mahkamah untuk memburukkan imejnya dan melabelnya sebagai perasuah.
Bagaimanapun, FMT melaporkan ketua polis Daerah Sentul Beh Eng Lai berkata laporan itu diklasifikasikan oleh polis sebagai "tidak memerlukan tindakan lanjut".
Kata beh ini kerana "seorang peguam negara mempunyai budi bicara mutlak untuk mendakwa sesiapa sahaja di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan".
Perkara 145(3) menetapkan bahawa peguam negara hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan mahkamah Syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/07/238e0ede75e1a958a69c0c6767e98de1.jpg)
