'Nak buat pilihan raya PBT kena ada peraturan jelas'
Pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memilih Datuk Bandar dan Ahli Majlis memerlukan garis panduan yang jelas sebelum dilaksanakan, kata Ahli Lembaga Penasihat DBKL, Ir Hayatul Kamil Termudi.
Katanya, isu komposisi kaum yang akan menganggotai atau dilantik sebagai ahli majlis PBT perlu seimbang selain bidang kuasa mereka perlu diperjelaskan terlebih dahulu.
"Pemilihan PBT jika hendak dilaksana perlu kepada peraturan yang jelas. PBT tidak boleh dimonopoli oleh satu bangsa sahaja agar matlamat mewujudkan masyarakat majmuk dapat dicapai.
"Kalau pemilihan PBT menambah lagi polarisasi kaum, lebih baik tidak perlu diadakan," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.
Hayatul berkata pilihan raya PBT pernah dilaksanakan di negara ini sebelum dimansuhkan selepas peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, selaras dengan penyusunan semula masyarakat.
Ketua Amanah Kawasan Bandar Tun Razak itu menambah, di negeri-negeri, wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) dibantu ahli majlis dalam menguruskan hal ehwal tempatan.
Justeru, katanya pilihan raya PBT tidak relevan diadakan semula jika pengundi yang akan mengundi adalah mereka yang sama mengundi dalam pilihan raya DUN dan Parlimen.
"Sekiranya pengundi sama seperti pilihan raya bagi DUN dan parlimen, maka pemilihan PBT tidak perlulah," katanya.
‘Cadangan DAP memang ditunggu PAS’
Pilihan raya PBT kembali diperkatakan selepas Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan Tan Kok Wai mencadangkan perkara itu pada 17 Disember lalu.
Cadangan itu kemudiannya dibantah sejumlah pihak, termasuk pemipin PAS dan Umno, dengan rata-ratanya berpandangan ia berisiko mencetuskan pergeseran kaum.
Dalam pada itu, Hayatul turut menepis dakwaan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa tujuan utama DAP mencadangkan pilihan raya PBT adalah bagi merealisasikan agenda mereka untuk menguasai bandar-bandar besar.
Hayatul berkata, dakwaan PAS itu hanyalah bertujuan untuk mempengaruhi rakyat dan mendapatkan sokongan untuk parti itu kembali berkuasa.
"PAS memang suka buat tuduhan berbaur perkauman untuk meraih sokongan rakyat yang mudah terhasut bertujuan untuk dapat berkuasa.
"Pemilihan PBT yg dicadang oleh DAP memang dialu-alukan PAS untuk dijadikan bahan memanaskan lagi bahang perkauman, dengan itu PAS akan mendapat manfaat politik," ujarnya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/12/a00967da4a2c5f91af6588824e1d9968.jpg)
