Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd memaklumkan restoran berputar Atmosphere 360 diarahkan menghentikan operasi disebabkan tempoh penyewaan yang telah luput.

MKLSB dalam satu kenyataan berkata perjanjian penyewaan dengan Asian Kitchen Sdn Bhd (AKSB) telah tamat pada 31 Disember tahun lepas.

Kedua-dua pihak bersetuju melanjutkan tempoh sehingga 30 Jun tahun ini.

"AKSB sepenuhnya sedar bahawa setelah perjanjian penyewaan tamat pada 30 Jun 2023, mereka harus berpindah keluar dari premis di Menara KL, dan tidak akan ada lagi lanjutan atau pembaharuan perjanjian penyewaan," katanya.

MKLSB memaklumkan beberapa minggu sebelum tamat tempoh penyewaan, AKSB telah memfailkan injunksi pada 9 Jun terhadapnya daripada menggunakan haknya untuk mendapatkan pemilikan kosong premis itu.

“Mahkamah Tinggi menolak permohonan injunksi AKSB pada 27 Jun 2023.

“Selepas itu, selepas tamat tempoh penyewaan, MKLSB telah memaklumkan dan meminta menyerahkan pemilikan kosong premis daripada AKSB melalui notis, surat dan memo tetapi malangnya tidak berjaya," katanya.

MKLSB kemudian memohon penghakiman ringkas di Mahkamah Tinggi pada 4 Sept agar AKSB mengosongkan premis berkenaan.

Penghakiman ringkas memutuskan bahawa perjanjian penyewaan telah tamat pada 30 Jun dan AKSB telah menduduki premis itu secara tidak sah sejak 1 Julai tahun ini.

‘Ingkar perintah mahkamah’

AKSB diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menyerahkan pemilikan kosong premis itu kepada MKLSB dan membayar sewa dua kali ganda sehingga ia menyerahkan milikan kosong premis itu.

“Pemilik restoran kemudian memfailkan penangguhan pelaksanaan perintah mahkamah tinggi tetapi ditolak pada 23 November.

“Sementara itu, MKLSB terus memaklumkan dan meminta AKSB mematuhi Perintah Mahkamah Tinggi dan menyerahkan pemilikan kosong premis itu bersama-sama pembayaran wang yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi kepada MKLSB, sekali lagi tidak berhasil.

“Disebabkan keingkaran berterusan mereka dan tidak mematuhi perintah mahkamah, kami tidak mempunyai pilihan selain memohon kepada mahkamah untuk melaksanakan dan menguatkuasakan perintah itu,” katanya sambil menambah kebenaran telah diberikan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Nov.

MKLSB berkata pada 21 Dis tahun ini, bailif daripada Mahkamah Tinggi telah datang ke Menara KL untuk melaksanakan Writ Pemilikan serta Writ Penyitaan dan Penjualan terhadap AKSB untuk melaksanakan Perintah Mahkamah Tinggi tersebut.

“AKSB telah beroperasi secara haram dan ingkar perintah mahkamah serta tidak membayar sebarang sewa kepada MKLSB mulai Julai 2023 sehingga hari ini.

“Walaupun ASKB telah memfailkan beberapa rayuan dan permohonan di mahkamah iaitu berhubung penolakan permohonan injunksi AKSB oleh Mahkamah Tinggi terhadap Perintah Mahkamah Tinggi, serta penangguhan pelaksanaan Perintah Mahkamah Tinggi sehingga menunggu rayuan; di bawah undang-undang, AKSB masih bertanggungjawab untuk mematuhi Perintah Mahkamah Tinggi," tambahnya.

MKLSB juga menegaskan pihaknya tidak pernah sekali pun campur tangan dalam operasi dan pengurusan restoran itu.

Ia menambah semua langkah yang diambil berkenaan penyerahan premis adalah mengikut undang-undang dan prosedur di Malaysia.

Terdahulu, ketua pegawai eksekutif Asian Kitchen Sdn Bhd, Ringo Kaw dilaporkan "terkejut" apabila menerima notis untuk mengosongkan premis tersebut.

Kaw berkata pihak pengurusan sebelum ini telah berjanji secara lisan untuk melanjutkan tempoh selama tiga tahun terhadap penyewaan restoran itu sebelum pengurusan Menara KL, Hydroshoppe Sdn Bhd mengambil alih MKLSB.

Dia juga memberitahu Scoop bahawa Atmosphere 360 ​​akan mengalami kerugian lebih RM1 juta daripada pengusiran itu.

Restoran itu diarah mengosongkan premis sebelum 4 Jan 2024.