Parti dan pemimpin masyarakat India menyelar keputusan Perdana Menteri Anwar Ibrahim meletakkan semula Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) bawah seliaan Kementerian Perpaduan Negara.

Mereka menyifatkan tindakan itu mengelirukan dan memperkecilkan peranan unit tersebut.

Bercakap kepada Malaysiakini, mereka menyifatkan Mitra “turun pangkat" memandangkan ia sebelum sebelum ini berada bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

"Sungguh suatu keputusan yang mengecewakan untuk memindahkan Mitra kembali ke Kementerian Perpaduan, kerana segala usaha yang dilakukan sebelum penempatannya di bawah JPM telah lenyap.

"Adalah penting bagi Mitra untuk kekal bawah bidang kuasa perdana menteri untuk terus berkhidmat kepada masyarakat India tanpa sebarang keutamaan atau tekanan politik.

"Pengagihan dana dan program perlu sampai kepada kaum India yang memerlukan, dan meletakkannya dalam bidang kuasa JPM akan membolehkannya mengurangkan kerenah birokrasi supaya ia boleh sampai kepada mereka yang memerlukan sebaik sahaja ia diperlukan," kata Ketua Penerangan MIC R Thinalan.

Katanya, keputusan itu mengecewakan apabila MIC dan pihak berkepentingan masyarakat India tidak dirujuk sebelum Mitra dikeluarkan daripada JPM.

Mitra ditubuhkan pada 2014 sebagai Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (Sedic) bawah JPM dan dijenamakan semula sebagai Mitra dan dipindahkan ke Kementerian Perpaduan pada 2018 ketika Pakatan Harapan (PH) kali pertama memerintah.

Ia kekal bawah kementerian itu sepanjang Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri tetapi diletakkan semula bawah JPM pada 2022 ketika pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.

Anwar kelmarin memberi jaminan akan memantau unit itu yang bertanggungjawab menangani isu pembangunan sosioekonomi masyarakat India di Malaysia.

Katanya masyarakat India tidak perlu bimbang mengenai pentadbiran Mitra kerana peraturan telah ditetapkan dan peruntukan diluluskan.

Malah unit itu juga masih tertakluk kepada syarat-syarat yang ketat bagi mengelakkan berlaku lagi salah guna kuasa atau penyelewengan.

‘Adakah lojik?’

Sementara itu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Sekretariat Khas Memperkasa Usahawan India (Seed),  AT Kumararajah, berkata keputusan terbaru itu menimbulkan persoalan asas tentang keselarasan strategi kerajaan dan keikhlasan komitmennya untuk menangani keperluan khusus masyarakat India.

"Program tindakan afirmatif, secara semula jadi, direka untuk membetulkan kelemahan sejarah dan meningkatkan komuniti terpinggir. Dalam kes Mitra, objektif utamanya adalah untuk menangani cabaran sosioekonomi yang dihadapi oleh masyarakat India Malaysia.

AT Kumararajah

"Dengan peralihan Mitra kepada Kementerian Perpaduan, timbul kebimbangan mengenai keserasian unit afirmatif berasaskan kaum dengan objektif kementerian yang tertumpu kepada perpaduan nasional. 

“Ia menimbulkan persoalan: Adakah lojik untuk meletakkan unit tindakan afirmatif bawah bidang kuasa kementerian yang matlamatnya menarik ke arah yang bertentangan?" katanya.

Seed adalah inisiatif perdana menteri sebelum ini Najib Razak bertujuan menerajui, memacu dan menyelaras penglibatan usahawan India dalam teras agenda pembangunan ekonomi negara.

Ia ditubuhkan sebagai unit strategik di JPM pada 1 Ogos 2012 dan memberi bimbingan serta maklumat terperinci mengenai pinjaman dan bantuan kerajaan untuk usahawan India. -

PM tak mau urus hal ehwal India, dakwa MIPP

Sementara itu, Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) P Punithan berkata tindakan perdana menteri meletakkan Mitra bawah Kementerian Perpaduan menunjukkan dia tidak lagi mahu memikul tanggungjawab mengurus hal ehwal kaum India.

"Lebih-lebih lagi Mitra kini mungkin dipertanggunjawabkan bawah (kuasa) seorang timbalan menteri dan bukannya seorang menteri kabinet atau bidang kuasa perdana menteri.

P Punithan

"MIPP berpandangan bahawa mesej yang ingin disampaikan oleh PM adalah jelas, hal ehwal kaum India bukan lagi menjadi agenda Kerajaan Perpaduan Madani.

"Saya bimbang sekiranya hal ini berlanjutan maka kaum India akan lebih terpinggir daripada arus pembangunan negara," kata pemimpin parti yang berhasrat bergabung dalam Perikatan Nasional (PN) itu.

Ada agenda dakwa MyPPP 

Sementara itu, Ketua Pemuda parti MyPPP Sathiah Sudakaran mendakwa tindakan meletakkan Mitra kembali bawah Kementerian Perpaduan bertujuan untuk “menggembirakan kumpulan tertentu dengan agenda khusus”.

"Saya berharap perdana menteri akan mempertimbangkan semula keputusannya jika tidak ia boleh membawa kepada akibat negatif dan kepercayaan yang diberikan oleh masyarakat India akan semakin berkurangan.

"Mitra harus dan mesti sentiasa berada bawah JPM untuk terus menggalakkan penyertaan masyarakat India ke arah mewujudkan reformasi ekonomi yang mampan dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif dengan penglibatan pelbagai pemegang kepentingan komuniti," katanya.