Seorang pesakit yang sebelum ini mendakwa bahawa sebuah hopital “cuai” kerana meninggalkan dawai di dalam saluran darah ke jantungnya ketika mendapat rawatan meninggal dunia malam semalam.

Peguam keluarganya, Gunamalar Joorindanjn mengesahkan perkara tersebut ketika dihubungi Malaysiakini.

"Saya rasa sedih anak guam saya Sivaperumal Subramaniam, 53 meninggal dunia. Si mati dihantar ke hospital untuk bedah siasat.

Gunamalar Joorindanjn

"Semalam dia teks saya, berkata bahawa berasa sangat sakit selepas insiden tersebut.

"Saya harap dan meminta bagi pihak keluarga mendiang agar KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) membuat siasatan tanpa berat sebelah bagi mendapatkan keadilan kepada keluarga," katanya.

Mendiang Sivaperumal merupakan seorang pesakit dialisis mempunyai tiga anak.

Menurut Gunamalar, pada 4 Disember lalu, Sivaperumal dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dengan sebuah ambulans selepas mengadu sakit jantung. Dia diberi rawatan kecemasan.

Pada keesokan hari, dia mendakwa, imbasan x-ray yang dijalankan selepas rawatan mendapati terdapat dawai (guidewire) sepanjang 22 cm di dalam saluran darah ke jantung.

Susulan itu, isu berkenaan menjadi tular media sosial Facebook bertarikh 7 Disember. 

Pengarah HTAR, Dr Zulkarnain Mohd Rafi, pada ketika itu berkata bahawa perkara berkenaan sedang dalam siasatan terperinci pihak hospital.

"Pihak HTAR memberi jaminan bahawa setiap aduan akan disiasat secara telus mengikut prosedur yang ditetapkan tanpa mengabaikan hak-hak pelanggan.

"Hasil siasatan akan dimaklumkan kepada pesakit atau ahli keluarga bagi mengawal kerahsiaan maklumat.

"Pihak hospital tidak akan berkompromi sekiranya didapati berlaku kecuaian semasa pesakit mendapatkan rawatan di HTAR," katanya.

Terdahulu, Gunamalar berkata pada 12 Disember, dia telah menghantar surat tuntutan kepada KKM dan pihak hospital HTAR.

"Semalam pihak hospital membalas surat kami berkata bahawa mereka masih sedang menyiasat perkara ini. Kami akan menggunakan semua cara undang-undang untuk meminta mereka yang bertanggungjawab. 

"Keluarga mendiang berhak mendapat ketelusan, dan kami akan memaklumkan kepada orang ramai tentang kemajuan siasatan ini.

"Komitmen kami terhadap keadilan tidak berbelah bahagi, mengutamakan hak dan kesejahteraan. Sama-sama kita tunggu perkembangan selanjutnya dari siasatan pihak hospital," katanya.