Israel tetap mahu teruskan perang dengan Hamas
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tetap berkeras dan mahu peperangan Israel-Hamas yang sudah berlanjutan selama tiga bulan di Gaza diteruskan.
“Kami tidak akan berhenti. Peperangan akan diteruskan sehingga penghujungnya atau sehingga kami menyelesaikannya.
“Tiada sesiapa yang menyatakan mengenai penamatan perang, tiada perkara seperti itu.

“Saya tahu tentera Israel meninggalkan keluarga untuk berperang dan keluarga anda menyokong anda.
“Itulah kuasa dan kunci kemenangan,” katanya yang dipetik wartawan semasa lawatan ke Gaza.
Netanyahu juga dilaporkan menentang gesaan antarabangsa untuk melaksanakan gencatan senjata di Gaza.
Terdahulu, Reuters dan AFP memetiknya sebagai berkata, keamanan hanya boleh dicapai di Gaza sekiranya kumpulan pejuang Hamas dimusnahkan.
Dia berkata demikian selepas memberi amaran perang akan bertambah sengit tidak lama lagi.

Sementara itu, Ketua Staf Tentera Israel, Herzi Halevi, dalam satu kenyataan kepada pemberita menerusi televisyen semalam mengesahkan bahawa perang Israel-Hamas akan berterusan.
"Tiada penyelesaian ajaib, tidak ada jalan pintas dalam membongkar pertubuhan pengganas. Hanya pertempuran yang gigih dan berterusan.
"Kami akan sampai kepada kepimpinan Hamas, sama ada ia mengambil masa seminggu atau mengambil masa berbulan-bulan," katanya.
Sebelum ini, Israel pernah berikrar bahawa mereka nekad untuk memusnahkan Hamas walaupun masyarakat antarabangsa berulang kali menggesa gencatan senjata sejak perang 11 minggu itu meletus.
Pihak berkuasa kesihatan Palestin berkata hampir 21,000 orang terbunuh dalam serangan Israel, dengan ribuan lagi dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan.

Hampir 2.3 juta penduduk di kawasan itu kini menjadi pelarian akibat kehilangan tempat tinggal.
Baru-baru ini, Netanyahu berikrar untuk meneruskan peperangan menentang kumpulan pejuang Hamas.
Penegasan itu dibuat ketika rakyat Palestin bersedih dan berkabung atas kematian ratusan penduduk Gaza yang terbunuh dalam serangan udara Israel semalaman.
Malah, Netanyahu juga tanpa segan melawat pasukan tenteranya di utara Gaza beberapa jam selepas serangan paling buruk berlaku di kawasan tersebut dalam konflik Israel-Hamas yang berlangsung selama 11 minggu.
Israel berdepan tekanan daripada sekutunya, Amerika Syarikat (AS) untuk mengubah operasi di Gaza ke fasa intensiti rendah dan mengurangkan kes kematian membabitkan orang awam.
Bagaimanapun, Netanyahu memberi penggubal undang-undang dari Parti Likud bahawa perang masih belum berakhir dan menolak dakwaan bahawa pihaknya akan menamatkan perang.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/12/28428481bb185e90198a2dd44044ce66.jpg)
