Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menyatakan kebimbangan apabila seorang kanak-kanak terpaksa menulis surat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim hanya untuk dibenarkan bersekolah.

Muda dalam satu kenyataan hari ini berkata walaupun terdapat jaminan perlembagaan, kanak-kanak itu masih dinafikan akses kepada pendidikan kerana isu dokumentasi kewarganegaraan.

"Perlembagaan Persekutuan Malaysia telah dengan jelas menetapkan bahawa setiap kanak-kanak berhak mendapatkan akses kepada pendidikan.

"Lebih-lebih lagi, Perlembagaan ini memperuntukkan tempoh masa yang munasabah bagi permohonan kewarganegaraan kanak-kanak hingga mencapai usia 21 tahun.

"Dalam konteks ini, adalah tidak patut dan bertentangan dengan prinsip keadilan untuk mana-mana kanak-kanak, tanpa mengira status dokumen, dinafikan hak pendidikan," kata Muda

Ia menambah bahawa amat membimbangkan bahawa kanak-kanak seperti Shivaani, yang mempunyai aspirasi dan hak untuk pendidikan, dinafikan peluang ini kerana halangan birokrasi.

"Muda dengan tegas menyeru kepada Kementerian Pendidikan untuk menjelaskan dan memastikan semua dasar pendidikan yang dijalankan selaras dengan ketetapan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

"Kami juga menggesa tindakan segera bagi menyelesaikan isu yang dihadapi oleh Shivaani serta kanak-kanak lain yang berada dalam situasi serupa.

"Di era globalisasi ini, prinsip pendidikan untuk semua adalah asas kepada pembangunan negara. Muda berazam memastikan setiap kanak-kanak Malaysia mendapat peluang pendidikan yang saksama tanpa sebarang diskriminasi," katanya.

Sementara itu, Pembangunan Sumber Manusia bagi Kawasan Luar Bandar (DHRRA), Malaysia, sebuah organisasi yang berdedikasi membantu kanak-kanak tanpa kerakyatan, menyatakan kebimbangan mengenai kes Shivaani.

"Ibu bapa Malaysia telah menekankan bahawa kanak-kanak itu menghadapi halangan untuk pendidikan kerana dasar dalam Kementerian Pendidikan.

“Kami menggesa Kementerian Pendidikan memberikan penjelasan mengenai sebarang perubahan baru dan sama ada kanak-kanak tanpa kerakyatan yang dilahirkan oleh ibu bapa Malaysia akan dinafikan akses kepada persekolahan.

"Peningkatan membimbangkan dalam populasi kanak-kanak tanpa kerakyatan di Malaysia adalah disebabkan oleh undang-undang kewarganegaraan yang bersifat diskriminasi," kata DHRRA.

Ia berkata bahawa undang-undang ini melarang bapa Malaysia daripada memberikan kewarganegaraan kepada anak mereka yang dilahirkan sebelum perkahwinan yang sah.

“Pangkalan data DHRRA menunjukkan bahawa sebilangan besar individu tanpa kerakyatan yang direkodkan adalah anak yang dilahirkan oleh bapa Malaysia yang menghadapi cabaran dalam mendapatkan kewarganegaraan.

"Menurut pangkalan data DHRRA, lebih 8,223 orang tanpa kerakyatan yang direkodkan adalah anak yang dilahirkan oleh bapa Malaysia dan anak angkat rakyat Malaysia.

"Kami berharap kanak-kanak tanpa kerakyatan yang tidak bersalah ini tidak akan menjadi sasaran kerana amalan diskriminasi Malaysia yang secara tidak adil menafikan kanak-kanak akses kepada hak asasi seperti pendidikan dan penjagaan kesihatan," katanya.

Surat Shivaani

Hari ini, Malaysiakini melaporkan kisah surat Shivaani yang ditujukan kepada perdana menteri selepas dia dikatakan dinafikan untuk meneruskan persekolahan.

Shivaani bersekolah sehingga Darjah 3 di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Pagi di Senawang. Bagaimanapun, pihak sekolah dikatakan memaklumkan kepada keluarganya pada Mac tahun ini bahawa Shivaani tidak dapat meneruskan ke Darjah Empat kerana isu dokumentasi kewarganegaraan.

Menurut P Rajheswaran, 44, yang memperkenalkan dirinya sebagai bapa Shivaani, anak perempuannya mengalami masalah dokumentasi kewarganegaraan kerana dia tidak mendaftar perkahwinannya.

“Selepas berkahwin, saya tidak mendaftar di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Selepas anak saya lahir pada 2013, isteri berpisah dengan saya.

“Ketika saya cuba mendapatkan sijil kelahiran, JPN berkata anak saya tidak boleh diberikan taraf kewarganegaraan kerana tiada maklumat mengenai ibu dan bapa.

"Nama saya juga tidak boleh dimasukkan sebagai bapa kerana perkahwinan kami tidak didaftarkan. Jadi, saya ambil sijil lahir anak yang hanya tertulis nama ibu," katanya.

Katanya, dia diserang strok empat tahun lalu sehingga menyukarkannya keluar rumah bagi menyelesaikan isu kewarganegaraan anaknya,

Pada Mei, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu Dewan Rakyat bahawa penggunaan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) tidak boleh digunakan sebagai satu-satunya bukti untuk memberikan kerakyatan Malaysia.

Dia berkata ia hanya boleh digunakan sebagai bukti sokongan untuk mengesahkan pertalian darah antara individu dan ahli keluarga lain, terutamanya antara anak, ibu atau bapa mereka, atau adik-beradik,.

Tambah Saifuddin, kewarganegaraan individu ditentukan oleh status perkahwinan ibu bapa kandung seseorang.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Menteri Fadhlina Sidek untuk mengulas mengenai kes Shivaani.