Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda mati lemas mandi di Tasik Biru Kundang
Diterbitkan:  Dec 28, 2023 8:35 PM
Dikemaskini: 12:35 PM

Seorang lelaki ditemukan lemas selepas mandi bersama rakannya di Tasik Biru Kundang, Sungai Buloh di Kuala Lumpur petang tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Azman Jus berusia 34 tahun.

“Bomba menerima laporan berhubung kejadian itu pada 3.32 petang daripada rakan mangsa sebelum sepasukan pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Arang serta pasukan Penyelamatan di Air dikerahkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

“Mayat mangsa kemudian berjaya ditemukan di dasar tasik dengan kedalaman empat meter iaitu kira-kira 10 meter dari lokasi dilaporkan hilang pada 6.10 petang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata pemuda Orang Asli itu dilaporkan telah pergi ke kawasan rekreasi berkenaan dengan menaiki motosikal bersama rakannya dan mandi bersama-sama di tasik itu sebelum disedari lemas.

Beliau berkata mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS