Lebih 100,000 pengunjung dari dalam dan luar negara berkunjung ke Perlis bagi tempoh dua minggu cuti persekolahan yang lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Perlis Wan Badariah Wan Saad berkata sehubungan itu, kerajaan negeri optimis akan mencapai sasaran 3.5 juta pelancong sempena Tahun Melawat Perlis tahun ini.

"Kita akan terus mempromosikan Perlis di setiap platform supaya lebih ramai lagi yang tahu tentang Perlis dan keistimewaan ditawarkan supaya sasaran kita untuk Tahun Melawat Perlis ini dari 3.5 juta pelancong, (jumlah sasaran pelancong ini) mungkin akan jadi lebih lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program sambutan pelancong sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025 di Santuari Ikan Air Tawar, Timah Tasoh dekat Padang Besar, semalam.

Sementara itu, Wan Badariah menyarankan rakyat di negeri itu mengambil peluang menambah pendapatan sampingan dengan menawarkan servis kereta sewa kepada pelancong.

- Bernama