Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wartawan Harakah antara tiga direman ceroboh rumah MB Selangor

Tiga lelaki termasuk seorang wartawan media rasmi PAS adalah antara tiga individu yang direman dua hari selepas menceroboh masuk kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Shah Alam, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihak berkuasa mendapat kebenaran daripada mahkamah untuk menahan mereka sehingga esok.

Katanya siasatan dijalankan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 3 bulan atau denda yang RM1,000 atau dengan kedua-duanya sekali.

Menjelaskan insiden tersebut Mohd Iqbal berkata suspek berusia antara 31 tahun hingga 35 tahun dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Kesemua suspek memberi alasan (mereka masuk) untuk menghadiri satu mesyuarat yang diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, tetapi tidak mempunyai jemputan secara rasmi daripada pihak menteri besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu tular video klip pendek memaparkan tiga lelaki yang ditahan, termasuk seorang daripadanya dikatakan wartawan Harakah.

Seorang lagi suspek ialah dipercayai seorang pengguna media sosial yang aktif serta aktivis PAS di Gombak.

Mohd Iqbal Ibrahim

Mohd Iqbal berkata polis menerima laporan berkaitan kejadian itu kira-kira jam 6.10 petang.

Katanya aduan itu dibuat pembantu operasi di kediaman rasmi Amirudin Shari tersebut.

“Siasatan mendapati semua suspek menggunakan Proton Waja untuk memasuki kediaman rasmi Menteri Besar Selangor melalui pondok pos pengawal utama tanpa mengemukakan sebarang jemputan secara rasmi daripada kerajaaan negeri.

“Bertindak atas maklumat, kira-kira jam 7.30 petang tangkapan ke atas semua suspek dibuat,” katanya.

Menurut Mohd Iqbal Proton Waja yang digunakan oleh suspek turut dirampas.

Difahamkan wartawan terbabit cuba memasuki premis berkenaan pada awalnya tetapi tidak dibenarkan kakitangan yang bertugas di situ.

Dia kemudian cuba menyelinap dengan bersembunyi di dalam Proton Waja yang dinaiki dua individu lain, kononnya untuk bermesyuarat.

Bagaimanapun, cubaan itu terbongkar selepas anggota polis memeriksa kenderaan terbabit apabila ia diletakkan di parkir kediaman rasmi berkenaan.

Jurucakap Pejabat Menteri Besar Selangor mengesahkan kejadian itu.

"Ya, mereka telah ditahan polis dan dibawa ke Balai Polis Seksyen 6 Shah Alam semalam atas dakwaan cuba menceroboh," kata pegawai itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS