3 individu didakwa ceroboh kediaman MB S'gor bebas reman hari ini
Tiga individu yang ditahan kerana didakwa menceroboh kediaman rasmi Menteri Besar Selangor dibebaskan daripada tahanan polis hari ini.
Jurucakap ibu pejabat polis daerah Shah Alam berkata, permohonan polis untuk melanjutkan tahanan reman ditolak.
Bagaimanapun, jurucakap itu berkata siasatan telah selesai.
Tiga individu itu termasuk seorang wartawan yang didakwa bekerja untuk lidah rasmi PAS, Harakah ditahan pada Jumaat.
Menurut laporan polis yang dibuat oleh penjaga kediaman itu, wartawan berkenaan sebelum itu cuba masuk ke kediaman Menteri Besar Amirudin Shari (atas) tetapi dihalang oleh polis.
Selepas percubaan pertamanya gagal, wartawan itu didakwa cuba menyelinap masuk dengan bersembunyi di dalam Proton Waja, yang membawa dua individu lain yang mendakwa mereka masuk ke kediaman itu untuk menghadiri mesyuarat.
Bagaimanapun, percubaan kedua turut digagalkan oleh polis, yang memeriksa kereta sedan itu di tempat letak kereta kediaman.
Difahamkan, salah seorang yang ditahan adalah seorang pemimpin akar umbi dari sebuah bahagian PAS di Selangor.
Sementara itu, PAS menafikan kenyataan menggunakan kepala surat parti yang memohon maaf atas tindakan ketiga-tiga individu itu. Ia tidak menjelaskan secara terperinci.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/10/80a3f53d1504a2d98a183a2a17e5e753.jpg)
