Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar ikrar terus petik ayat Quran tapi akan rujuk Jakim dulu

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata dia akan terus memetik ayat-ayat al-Quran beserta tafsirannya meskipun ucapannya mengenai kisah Ashabul Kahfi baru-baru ini mencetuskan kritikan sesetengah pihak.

Berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini, Anwar berkata penerapan nilai dan akhlak murni mesti seiring dengan keghairahan negara memacu pertumbuhan ekonomi digital.

Bagaimanapun, tambahnya, dia akan merujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang kontroversi pada masa hadapan.

"Jadi bulan-bulan lain saya baca ayat Quran lain dan tafsir. Tapi saya rujuk Jakim dulu supaya elak kontroversi,” katanya kepada penjawat awam.

Meskipun tidak bersetuju dengan sesetengah pihak yang mengkritik kenyataannya sebelum ini - yang didakwa disalah tafsir dan dilihat melalui kaca mata musuh politiknya - perdana menteri berkata insiden itu mempunyai hikmah tersendiri.

Menurut Anwar, ia telah mendorong perbincangan panjang lebar mengenai Surah Al-Kahfi di kalangan umat Islam, khususnya generasi muda.

Ini katanya, adalah sesuatu yang jarang berlaku pada masa lepas.

"Ada baiknya, kerana rakan-rakan Jakim tahu bahawa jarang sekali berlaku perbincangan tentang kupasan ayat-ayat Quran dan saya anggap ini positif walaupun serangan pada saya itu saya rasa agak keterlaluan,” katanya.

Anwar dalam satu majlis melibatkan penjawat awam baru-baru ini menyebut mengenai kisah pemuda Ashabul Kahfi yang diceritakan dalam al-Quran dengan merujuk mereka sebagai Kristian.

Ashabul Kahfi ialah kisah mengenai sekumpulan pemuda yang melarikan diri daripada pemerintahan raja yang zalim dan tertidur dalam gua selama ratusan tahun.

Para ulama Islam berpendapat pemuda-pemuda berkenaan beriman kepada Allah namun berbeza pandangan sama ada mereka beragama Nasrani atau sebelum agama Nasrani.

Nasrani kini juga dikenali sebagai Kristian.

Bagaimanapun, seorang pendakwah menyifatkan perdana menteri sebagai sesat serta jahil apabila menyatakan pemuda berkenaan beragama Kristian.

Anwar sebelum ini berkata pandangannya itu disalah tafsir dan meminta semua pendakwah supaya tidak terburu-buru dalam mengupas sesuatu isu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS