Cadangan Rosyam Nor berkenaan rumah pelacuran khusus untuk pekerja asing mengundang reaksi pelbagai pihak, antaranya Biro Hal Ehwal Syariah Amanah Selangor yang berkata ia bukanlah penyelesaian bagi isu yang dibangkitkan pelakon itu.

Pengarahnya Azrul Hakim Suradi berkata apa yang dibangkitkan Rosyam itu perlu diteliti dengan serius oleh kementerian dan agensi yang terlibat.

"Solusi bagi masalah ini mesti dimasukkan dalam pelan nasional berkaitan tenaga kerja asing di negara ini.

"Ia mesti merangkumi semua latar pekerja asing termasuk penyelesaian pembangunan insani bagi pekerja asing bukan Islam," katanya dalam kenyataan.

Selain itu, Azrul Hakim berkata agensi agama Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan jabatan agama setiap negeri perlu merangka usaha untuk membangunkan "pembangunan insan dan motivasi hidup" bagi pekerja asing beragama Islam.

"Karamatul Insan (kemuliaan insan) mesti dibina dalam diri setiap pekerja asing di negara ini," katanya lagi.

Dia mengulas kenyataan Rosyam berkenaan perkara itu yang menurutnya berdasarkan jumlah pekerja dan pendatang asing yang semakin membanjiri Malaysia kebelakangan ini.

Rosyam membangkitkan keadaan mereka yang berjauhan dengan isteri di negara asal, serta menurutnya dapat mengurangkan kes rogol.

“Rumah pelacuran ini dalam bahasa mudah adalah untuk melepaskan (nafsu). Ini cuma (antara jalan) untuk menyelamatkan anak dara, bini kita daripada dipanjat (dirogol) mereka," katanya.

Azrul Hakim berkata sementara pihaknya setuju dengan kebimbangan yang disuarakan, kaedah penyelesaian yang dicadangkan perlu dinilai secara komprehensif.

Dia berkata Islam telah menyediakan alternatif dalam mengatasi jenayah rogol dan tidak membenarkan kaedah menutup jenayah dengan melakukan jenayah yang lain.

"Islam menyediakan satu alternatif dalam usaha mengatasi masalah ini, iaitu meningkatkan ketahanan diri dan motivasi hidup melalui ibadah dan usaha mendekatkan diri dengan Allah, khususnya amalan puasa.

"Puasa dapat menundukkan nafsu diri dan mengawal akal fikiran agar sentiasa menghormati manusia lain, khususnya (bagi) yang lemah.

"Bagi mengelak masalah rogol, gangguan seksual atau sumbang mahram, pelacuran bukanlah penyelesaian. Bahkan ia menambahkan lagi bilangan jenayah dan maksiat dalam negara," katanya lagi.