SPRM siasat isteri, anak lelaki Daim esok
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyoal siasat isteri bekas menteri kewangan Daim Zainuddin dan dua anak lelakinya esok.
Ini berdasarkan notis yang dihantar oleh peguam keluarga itu kepada pihak media hari ini.
SPRM kini sedang menjalankan siasatan terhadap Daim berkaitan pendedahan mengenai kekayaannya dalam Kertas Pandora.
Dalam Kertas Pandora sahaja, syarikat dan firma pemegang amanah yang dimiliki oleh anak-anak, isteri atau rakan perniagaan Daim bersama-sama memegang aset bernilai sekurang-kurangnya GPP25 juta (kira-kira RM141 juta).
Sebelum ini Daim menjawab laporan Malaysiakini dengan berkata bukan semua pemegang amanah yang disenaraikan portal itu adalah miliknya dan semua urus niaga yang dijalankannya adalah sah.
Dia berkata pemegang amanah adalah sebahagian daripada "perancangan harta pusaka" dan semua cukai yang perlu dibayar telah dibayar.
Memiliki entiti luar pesisir tidak menyalahi undang-undang tetapi dalam beberapa keadaan, amalan itu dikaitkan dengan pengelakan cukai. Dalam kes lain, ia merupakan usaha mengekalkan kerahsiaan atas pelbagai sebab.
SPRM berkata suruhanjaya itu telah menghantar notis kepada Daim sejak Jun lalu supaya dia mengisytiharkan harta, namun mendakwa tuntutan itu tidak dipenuhi walaupun selepas lima lanjutan diberikan seperti yang diminta bekas menteri kewangan itu.
Hal ini mendorong SPRM menyita Menara Ilham, sebuah bangunan bernilai tinggi milik Daim dan keluarganya di tengah-tengah ibu kota baru-baru ini.
Daim mengecam siasatan SPRM terhadapnya dengan mendakwa dia menjadi mangsa penganiayaan politik. Bagaimanapun SPRM menafikan dakwaan itu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/02/d60f06a9ed69f0cab52cb599f0c21056.jpg)
