Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS: Tindakan khianat, bakar harta benda tak boleh diterima
Diterbitkan:  Jan 10, 2024 10:08 AM
Dikemaskini: 8:21 AM

PAS menegaskan bahawa tindakan membakar dan mengkhianati harta individu adalah perbuatan yang tidak boleh diterima.

Ketua penerangannya Ahmad Fahli Shaari berkata demikian mengulas kebakaran yang berlaku di rumah Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham awal pagi ini, yang disyaki mempunyai unsur khianat.

“Walau apapun perbezaan yang berlaku di dalam politik, tindakan membakar dan mengkhianati harta individu lain apalagi melibatkan risiko kehilangan nayawa adalah satu perbuatan yang tidak boleh diterima,” katanya sambil menyampaikan ucapan takziah kepada pemimpin DAP itu.

Terdahulu DAP mengecam sekeras-kerasnya apa yang dipercayai serangan 'Molotov cocktail' ke atas rumah Ngeh awal pagi ini.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata dia dimaklumkan oleh Ngeh mengenai kejadian itu yang berlaku awal pagi tadi.

"DAP mengutuk sekeras-kerasnya tindakan serangan ganas ini yang mengancam keselamatan nyawa keluarga beliau dan menegaskan bahawa apa sahaja bentuk unsur keganasan tidak boleh diterima sekali dalam menangani perbezaan dalam masyarakat kita,” kata Loke, sambil menambah DAP bersolidariti dengan Ngeh dan keluarganya.

Ketua Polis Perak Yusri Hassan Basri pula berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan kebakaran itu berpunca dari perbuatan khianat, sambil menyatakan siasatan dijalankan dari pelbagai sudut.

SinChew Daily melaporkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian 2.50 pagi itu.

Menurut laporan itu, tiga kereta telah musnah dalam kejadian itu, termasuk Mercedes E300, yang terbakar sepenuhnya. Turut terbakar sebahagiannya ialah Honda CRV, dan Toyota Hilux, serta bumbung anjung rumah.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.

Sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan sewajarnya.

"Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan menurut undang-undang yang sedia ada.

"Semua pihak dinasihatkan tidak membuat apa-apa spekulasi yang boleh menggangu siasatan pihak berkuasa," katanya lagi.

Dalam kenyataan berasingan, Ketua Penerangan Pejuang Rafique Rashid turut mengecam dakwaan serangan itu.

"Pejuang mengecam segala tindakan jenayah dan keganasan oleh sesiapa sahaja lebih-lebih lagi tindakan tidak berperikemanusiaan ini boleh membawa kepada kehilangan nyawa dan hartabenda.

"Walaupun Pejuang mempunyai perbezaan pendapat dengan DAP dan parti-parti serta individu-individu politik yang lain dalam pelbagai perkara ianya tidak menghalalkan perbuatan jenayah seperti yang berlaku pagi tadi.

"Perbezaan politik dan pegangan ini adalah untuk didebatkan dan diraikan bukannya untuk dijenayahkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lihat Komen
ADS