Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isteri dakwa Daim dianiaya kerana berjaya dalam perniagaan

Isteri bekas menteri kewangan Daim Zainuddin mendakwa suaminya dianiaya oleh pihak berkuasa atas kejayaan dalam perniagaan.

Naimah Khalid berkata kerajaan tidak boleh cuba mencemarkan reputasi individu untuk "menyelesaikan pertelingkahan politik lampau".

"Umum mengetahui Daim merupakan ahli perniagaan yang sangat berjaya sebelum menyertai kerajaan pada 1984. Malah media secara meluas merujuk beliau hartawan dan jutawan sebelum memegang jawatan awam 40 tahun lalu.

"Kini, sebuah kempen memutar belit maklumat dan persepsi dijalankan bagi memberi gambaran bahawa beliau serang yang korum semata-mata kerana sangat kaya.

"Ia sesuatu yang tidak munasabah dan masuk akal, malah tiada ahli perniagaan yang berjaya di negara ini akan terlepas daripada tuduhan sedemikian," katanya kepada pemberita di luar ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.

Dia seterusnya menambah bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah beberapa kali mendakwa Daim mempunyai "kekayaan haram" tanpa memberikan bukti.

"Adakah perdana menteri mencadangkan ahli perniagaan Melayu yang berusaha keras dan berkebolehan tidak boleh menjadi kaya tanpa menggunakan jalan tidak sah atau haram?

"Ini hanya menguatkan tanggapan stereotaip palsu mengenai keupayaan orang Melayu," katanya.

Dia menambah bahawa Anwar harus menghormati prinsip tidak bersalah melainkan kesalahan dibuktikan di mahkamah undang-undang.

Turut hadir hari ini ialah dua anak lelaki Daim.

Naimah berkata, ketiga-tiga mereka dimaklumkan pada Isnin bahawa mereka akan dipanggil pagi ini untuk membantu siasatan.

Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin

SPRM sedang menyiasat bekas menteri itu berhubung pendedahan mengenai kekayaannya susulan pendedahan rekod kewangan antarabangsa yang dikenali sebagai Kertas Pandora.

Dokumen itu mendapati, dalam rekod itu sahaja, anak, isteri, atau rakan perniagaan Daim bersama-sama memegang aset bernilai sekurang-kurangnya £25 juta (kira-kira RM141 juta).

Daim sebelum ini menjawab laporan Malaysiakini mengenai Kertas Pandora mengatakan semua urusannya adalah sah dengan semua cukai sudah dibayar.

Mempunyai entiti luar pesisir tidak menyalahi undang-undang tetapi dalam beberapa keadaan, amalan itu telah dikaitkan dengan pengelakan cukai. Dalam kes lain, ia adalah percubaan untuk mengekalkan kerahsiaan atas pelbagai sebab.

SPRM berkata ia telah menghantar notis kepada Daim pada Jun lalu untuk mengisytiharkan hartanya tetapi mendakwa ia tidak dipenuhi walaupun selepas lima tempoh lanjutan diminta oleh bekas menteri kewangan itu.

Ini seterusnya membawa kepada SPRM menyita Menara Ilham, sebuah bangunan bernilai komersial tinggi milik Daim dan keluarganya.

Daim mengecam siasatan SPRM sebagai bermotifkan politik, namun dinafikan oleh suruhanjaya antirasuah itu.

Lihat Komen
ADS