Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Penduduk Teluk Kumbar bantah pembinaan asrama pekerja asing
Diterbitkan:  Jan 10, 2024 3:20 PM
Dikemaskini: 7:20 AM

Penduduk di Teluk Kumbar di Balik Pulau meminta Kerajaan Negeri Pulau Pinang agar membatalkan perancangan pembinaan asrama pekerja warga asing berkapasiti lebih 7,000 orang di kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembinaan Asrama Warga Asing di Teluk Kumbar Prof Dr Muhammad Idiris Saleh berkata projek yang dicadang dibina di lot 1859, 1860 dan 1865 berhampiran Bandar Baru Perda dan berkeluasan 0.83 hektar itu telah mendapat kebenaran merancang.

Bagaimanapun, beliau berkata kira-kira 32,000 penduduk dan pemimpin politik setempat sebulat suara membantah projek pembinaan asrama warga asing itu kerana dikhuatiri akan mengancam kehidupan masyarakat tempatan.

"Kami telah nyatakan pendirian secara terbuka kepada Ketua Menteri Chow Kon Yeow menerusi perjumpaan semalam dan beliau memaklumkan bahawa pihaknya akan menyemak semula perkara ini kerana kelulusan projek itu bersyarat, malah Penilaian Impak Sosial (SIA) juga bersyarat dan akan lakukan perbincangan dengan pihak berkaitan," katanya pada sidang akhbar di Balik Pulau hari ini.

Muhammad Idiris berkata sekiranya keputusan kerajaan negeri tetap ingin meneruskan projek itu, penduduk juga mengulangi pendirian untuk membantah dan tidak menolak untuk mengambil tindakan undang-undang bagi memastikan projek terbabit dibatalkan.

"Kami mendesak kerajaan negeri agar membatalkan segera projek pembinaan asrama setinggi 27 tingkat itu dan memilih lokasi lain yang lebih hampir dengan kawasan perindustrian kerana ia lebih sesuai," katanya.

Sebelum ini, lebih 1,000 penduduk tempatan di Teluk Kumbar mengadakan demonstrasi aman bagi membantah projek pembinaan asrama pekerja warga asing itu kerana ia bakal menimbulkan banyak masalah termasuk kesesakan lalu lintas, budaya dan kepadatan penduduk.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS