Kerajaan diminta mempertimbangkan pengecualian kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) daripada 6 peratus kepada 8 peratus bagi kenaikan elektrik dan air bermula Mac ini.

Presiden MCA Wee Ka Siong berkata kenaikan itu bukan sahaja dirasai oleh sektor perniagaan tetapi pengguna turut terkesan kerana akhirnya mereka menanggung segala kenaikan.

"Kehidupan rakyat memang sangat susah sekarang, bolehkah kerajaan kecualikan kenaikan kadar cukai servis ke atas kos elektrik?

"Jadi saya saran kerajaan untuk beri sedikit ruang kepada pengguna dan perniagaan untuk bernafas seketika setelah beberapa kali menanggung kenaikan bil elektrik sejak tahun lepas serta menanggung beberapa cukai baharu yang bermula tahun ini untuk meredakan beban ke atas isi rumah dan juga untuk menurunkan tekanan inflasi dari sektor perniagaan," katanya dalam hantaran Facebook.

Menurutnya, keputusan kerajaan menarik balik rebat penggunaan elektrik menyebabkan hampir semua pengguna akan terkesan dengan kenaikan tarif elektrik.

"Mulai Julai 2023, kerajaan telah menaikkan tarif elektrik sebanyak 30 peratus bagi isi rumah dengan penggunaan elektrik melebihi 1,500 kWh atau bil elektrik semasa melebihi RM708 sebulan. Pada masa itu, kerajaan turut berkata bahawa tiada kenaikan bagi penggunaan elektrik antara 600kWh ke 1,500 kWh atau bil elektrik semasa kurang daripada RM708 sebulan.

"Akan tetapi, isi rumah dengan penggunaan elektrik antara 600kWh ke 1,500 kWh tidak lagi terkecuali dari kenaikan akibat daripada rebat ditarik balik bagi golongan ini mulai 1 Januari 2024, mengikut pengumuman terbaru kerajaan.

"Tapi bila bil elektrik naik, kutipan cukai servis ke atas bil elektrik juga naik, menambahkan lagi beban bulanan ke atas isi rumah dan perniagaan termasuk sektor pembuatan dan perkhidmatan," katanya.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu juga berkata SST bagi elektrik dikekalkan pada 6 peratus sebagaimana sektor makanan dan minuman, tempat meletak kenderaan dan sektor telekomunikasi.

"Telekomunikasi adalah utiliti bulanan asas. Begitu juga dengan elektrik dan air. Kenapa kadar cukai servis tidak dikekalkan juga bagi caj elektrik dan air? Kerajaan perlu konsisten," katanya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dalam Belanjawan 2024 lalu mengumumkan bahawa kerajaan bercadang menaikkan kadar cukai perkhidmatan kepada lapan peratus berbanding enam peratus.

Namun, kenaikan itu dikecualikan kepada sektor makanan dan minuman, perkhidmatan tempat meletak kenderaan dan sektor telekomunikasi.