Kereta bawa Altantuya milik teman wanita Azilah
Saksi ketujuh, Lans Kpl Rohaniza Roslan, 29, memberitahu mahkamah bahawa kereta Proton Wira aeroback warna merah yang dilihat oleh penyiasat persendirian P Balasubramaniam membawa Altantuya pergi dari luar rumah Abdul Razak pada 19 Oktober adalah miliknya.
Saksi ketujuh, Lans Kpl Rohaniza Roslan, 29, memberitahu mahkamah bahawa kereta Proton Wira aeroback warna merah yang dilihat oleh penyiasat persendirian P Balasubramaniam membawa Altantuya pergi dari luar rumah Abdul Razak pada 19 Oktober adalah miliknya.
Menjawab soalan DPP Noorin Badaruddin, Rohaniza berkata, beliau tidak bertugas pada malam itu dan menemani Cif Inspektor Azilah Hadri di ibupejabat polis Bukit Aman. Beliau adalah teman wanita Azilah.
Azilah, 30, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 35, dari Unit Tindakan Khas Bukit Aman didakwa membunuh Altantuya, 28, di lokasi antara lot 12843 dan lot 16735, Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.
Manakala penganalisa politik, Abdul Razak Baginda, 46, pula didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar dalam melakukan pembunuhan itu.
Rohaniza memberitahu mahkamah, Azilah ditugaskan untuk mengiringi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri ke Hong Kong tetapi tugasan itu telah dibatalkan.
Katanya, beliau berada di sana untuk membantu Azila mengemaskan semula barangannya.
Menurutnya lagi, Azilah menerima satu panggilan dan kemudian mengikutnya ke Bukit Damansara.
Di sana, katanya, beliau nampak seorang lelaki India sedang bercakap dengan "seorang wanita Cina".
Rohaniza berkata, beliau kemudiannya berpindah ke tempat duduk belakang dan wanita Cina itu duduk di sebelahnya.
'Jangan buat kacau'
Menurutnya lagi, seorang lelaki yang memakai topi berwarna hijau kemudian tiba dan terus masuk ke kereta tersebut. Azilah kemudian memandu kereta itu sebelum menurunkan lelaki berkenaan di satu simpang berhampiran.
Katanya, lelaki itu kemudiannya menaiki sebuah kereta (Suzuki) Vitara berwarna hijau dan Azilah mengekorinya hingga ke lebuhraya ke arah Bukit Aman.
Ketika itu, katanya, wanita Cina itu bertanya siapakah mereka dan Azilah memberitahunya 'polis'.
Katanya, Azilah mengingatkan Altantuya supaya jangan mengganggu Abdul Razak Abdullah Baginda dan membuat kacau di hadapan rumah penganalisis politik itu.
Rohaniza berkata, Azilah juga mengarahkan Altantuya supaya berjumpa sendiri dengan Abdul Razak di pejabatnya jika mempunyai masalah.
Katanya, Azilah turut memberitahu Altantuya supaya jangan menganggu Abdul Razak kerana dia (Abdul Razak) sudah berkeluarga.
Saksi menangis
Sementara itu Bernama melaporkan, terdahulu, sebelum menceritakan kejadian pada malam itu, Rohaniza, yang berpakaian seragam polis, menangis ketika diminta oleh Noreen untuk mengecam Azilah dari dalam kandang tertuduh.
"(Azilah) yang ketiga dari sebelah kiri, Yang Arif," kata Rohaniza sambil menangis dan mengesat air matanya.
Azilah pula hanya menundukkan kepala dan tidak memandang Rohaniza ketika pengecaman itu dibuat.
Rohaniza memberitahu mahkamah, pada kira-kira jam 7 malam 19 Oktober 2006, beliau berbuka puasa dengan Azilah di sebuah restoran di Petaling Jaya dengan menaiki kereta Proton Wira Aeroback berwarna merah miliknya (Rohaniza).
Noreen: "Siapakah Azilah Hadri dengan kamu pada ketika itu?"
Rohaniza: "Azilah ialah teman lelaki saya."
Rohaniza berkata beliau berkawan dengan Azilah selama sembilan tahun dan hubungan mereka rapat.
Noreen kemudian meminta Rohaniza menceritakan apa yang berlaku selepas mereka berdua selesai berbuka puasa di restoran itu kira-kira jam 7.45 malam.
Kemas barang
"Azilah beritahu dia nak kemas barang-barangnya di pejabatnya di Bukit Aman. Dia minta saya temankan dia ke sana, kami pergi naik kereta saya dan sampai lebih kurang jam 8.10 malam.
"Sedang kami kemas barang, tiba-tiba Azilah terima panggilan telefon melalui telefon bimbitnya dan dia keluar dari pejabat lebih kurang lima minit. Azilah beritahu dia nak keluar jumpa kawan di Damansara," katanya.
Beliau berkata pada mulanya Azilah enggan membenarkannya mengikut, tetapi setelah beliau mendesak kerana tidak mahu tinggal berdua dengan kawan Azilah di dalam pejabat itu, Azilah kemudian bersetuju membawanya bersama.
Rohaniza berkata, selepas itu mereka pergi ke sebuah banglo dua tingkat di kawasan perumahan Bukit Damansara dengan menaiki keretanya (Rohaniza) yang dipandu oleh Azilah dan bila sampai di situ, Azilah memberhentikan kereta tanpa mematikan enjin di hadapan pagar banglo itu.
Ketika ditanya anggaran jarak di antara kereta itu dan banglo berkenaan, Rohaniza berkata "jaraknya macam dari tempat saya dengan Yang Arif", sambil menuding ke arah Hakim Mohd Zaki Md Yasin.
"Berapa anggarannya? Sebagai anggota polis takkan kamu tak tahu. Kalau tak boleh metrik, guna kaki (sebagai ukuran)," kata Mohd Zaki menyebabkan ramai yang hadir di galeri mahkamah tersenyum.
"Hah, berapa jaraknya? Peguam-peguam pun (perlu tahu)," soal Mohd Zaki, kali ini diajukan kepada Noreen.
"Saya pun tak berapa tahu, apa kata kita guna pembaris, agak-agak," jawab Timbalan Pendakwa raya itu sambil ketawa kecil.
Nampak lelaki India
Peguambela Wong Kian Kheong, bagi Abdul Razak, mencelah dan menyatakan jarak yang dimaksudkan saksi itu ialah kira-kira enam hingga tujuh meter.
Rohaiza menyambung keterangan dengan memberitahu bahawa selepas kereta diberhentikan, beliau nampak seorang lelaki India dan seorang perempuan Cina sedang berbual-bual di tepi sebuah kereta.
"Azilah pula turun dari keretanya, dia berjalan menuju ke arah lelaki India itu dan bercakap sekejap sahaja. Kemudian dia pergi ke satu pokok, saya tak pasti dia terima atau buat panggilan telefon," katanya.
Sepanjang prosiding itu, Rohaiza ditegur beberapa kali oleh Noreen supaya memberikan keterangannya perlahan-lahan tetapi jelas, bagi memudahkan pihak mahkamah dan peguam membuat catatan.
Noreen kemudian menyoal berapakah jarak di antara pokok yang dikatakan oleh Rohaiza dengan keretanya.
"Dari Yang Arif sampai ke pintu belakang," jawab Rohaniza sambil menuding ke arah pintu mahkamah.
"Dah saya pula yang jadi (ukuran)!" kata hakim itu, disambut ketawa mereka yang berada di mahkamah.
"Berapa (ukuran) Encik Wong?" tanya Noreen dan peguambela itu menjawab "dalam 15 meter".
Duduk di belakang
Rohaniza selepas itu memberitahu mahkamah bahawa Azilah datang kepadanya dan meminta beliau berpindah ke tempat duduk penumpang di bahagian belakang kereta dan melihat wanita Cina itu berjalan menuju ke arah keretanya.
Wanita itu kemudian duduk di sebelah kiri beliau di tempat duduk belakang, bagaimanapun Rohaniza tidak bertanya siapakah dia.
Noreen: "Apa yang berlaku?"
Rohaniza: "Bila nak gerak, tiba-tiba seorang lelaki pakai cap hijau datang dari arah belakang kereta, masuk dalam kereta dan duduk di sebelah Azilah.
Noreen: "Boleh cam lelaki ini?"
Rohaniza: "Tidak"
Noreen: "Selepas itu apa berlaku?"
Rohaniza: "Bila nak gerak tiba-tiba datang (seorang) pemandu teksi minta tambang. Dia beritahu perempuan Cina itu tak bayar tambang teksi lagi. Azilah marah perempuan itu dan keluarkan duit pada pemandu teksi, nampak macam RM50 tapi tak tahu berapa keping."
Katanya selepas itu Azilah memandu kereta sampai ke satu simpang dan berhenti setelah diminta oleh lelaki bertopi itu.
Noreen: "Berapa jauh rumah dari rumah banglo dua tingkat?"
Rohaniza: "Tak jauh, lebih kurang 5 minit.
Rohaniza berkata ketika Azilah memberhentikan keretanya, beliau melihat lelaki bertopi itu berjalan ke sebuah kereta jenis Vitara yang diletakkan di bawah sebatang pokok.
Saksi itu memberitahu mahkamah, walaupun beliau tidak mengecam nombor pendaftaran kereta berkenaan, beliau yakin ia adalah sebuah kereta jenis Vitara berwarna hijau pekat kerana dapat melihatnya dengan jelas melalui sinaran lampu jalan di simpang itu.
Selepas itu, Rohaniza berkata lelaki berkenaan memandu kereta Vitara itu dan dan diekori Azilah dengan keretanya.
'Jangan ganggu'
Dalam perjalanan itu, menurut Rohaniza, Azilah bercakap dalam bahasa Inggeris dan memberi amaran serta peringatan kepada Altantuya supaya jangan mengganggu Abdul Razak di rumahnya.
Sebelum Rohaniza memberikan keterangannya itu, beliau memohon kepada hakim untuk merujuk notanya yang dibuat beberapa hari selepas beliau dibebaskan daripada tahanan reman pada 14 Nov 2006, mengenai perbualan Azilah dan wanita Cina itu.
Noreen bagaimanapun meminta Rohaniza supaya cuba mengingati apa yang berlaku tanpa merujuk kepada nota berkenaan.
Seterusnya Rohaniza berkata semasa dalam perjalanan itu, wanita Cina itu telah bertanya siapakah mereka berdua dan Azilah menjawab (dalam Bahasa Inggeris) "Polis."
Kemudian kereta Vitara itu memberikan signal dan berhenti (di tepi jalan).
"Azilah berhentikan kereta. Dia turun dari kereta dan menuju ke kereta Vitara kemudian masuk dalam kereta itu sekejap. Selepas itu Azilah datang semula ke kereta (Wira), masa itu saya tukar ke tempat duduk depan. Perempuan Cina itu masih di belakang," kata Rohaniza.
Keterangan Rohaniza berhenti di sini dan perbicaraan disambung Isnin depan.

