Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keliru dua Samad: Apa sudah jadi, tanya aktivis seni

Satu rencana seorang ahli akademik mengenai jasa A Samad Ismail yang disiarkan sebuah akhbar menarik perhatian ramai apabila penulis itu dilihat terkeliru di antara tokoh wartawan negara itu dengan Sasterawan Negara A Samad Said.

Melalui tulisan tersebut ahli akademik terbabit menyatakan bahawa Samad Ismail menghasilkan karya dalam pelbagai genre termasuk cerita pendek, novel dan tulisan kewartawanan.

Dia menulis: "Beberapa karyanya yang terkenal antara lain adalah novel Salina yang menceritakan kisah seorang wanita Melayu [...]".

Bagaimanapun semakan Malaysiakini malam tadi mendapati rencana berkenaan dalam versi dalam talian sudah tidak lagi memaparkan kenyataan tersebut.

Walaupun Samad Ismail terkenal sebagai tokoh wartawan, dia juga memang banyak menghasilkan karya kreatif termasuk novel seperti Tembok Tidak Tinggi, Patah Sayap Terbang Jua, Temasya Tinta dan Sutinah.

Sementara novel Salina bukanlah terlahir daripada tangan Samad Ismail, sebaliknya karya besar Samad Said.

Ia mula menjadi perhatian apabila seorang pengguna Facebook, Mohamad Fauzi Noordin, memuat naik hantaran mengenai kesilapan tersebut sebelum dikongsi oleh orang lain.

Rata-rata warganet dan peminat sastera menyatakan rasa terkejut serta kesal dengan kesilapan tersebut.

Menurut Fauzi dia membaca rencana itu berulang-ulang kali kerana risau tersalah faham dengan maksud yang disampaikan.

"Tapi rupa-rupanya memang fakta itu salah," katanya kepada Malaysiakini.

Dia juga menjelaskan hantaran yang menarik perhatian itu dimuat naik bukan untuk menghina atau mencari salah sesiapa sebaliknya menyatakan berlaku kekhilafan.

"Cuma rasanya tidak patut seorang individu yang ada autoriti dan akhbar yang ada nama besar melakukan kesilapan melibatkan nama sasterawan negara.

"Di pihak editorial selalunya ada pengesahan fakta dan sebagainya, dan jika sedar berlaku kesilapan, harus segera meminta maaf dan membuat pembetulan," katanya.

Kesilapan tidak wajar

Pyanhabib

Penggiat seni, pelakon dan penyair, Pyanhabib turut kesal dengan kesilapan fakta berkenaan dan secara sinis memberitahu Malaysiakini, adakah ahli akademik terbabit melakukan kajian atau semakan terlebih dulu sebelum menulis.

Pyanhabib yang sebelum ini dinobatkan sebagai tokoh Penyair Kuala Lumpur juga menganggap kesalahan sebegitu sepatutnya boleh dielakkan jika pihak yang mengendalikan proses penerbitan lebih teliti membuat semakan.

"Adakah editor tak baca baik-baik sebelum siarkan rencana? Atau editor 'tak reti baca' apa yang patut," katanya.

Tambah pelakon Kembara Seniman Jalanan itu lagi, ada banyak tulisan mengenai kedua-dua tokoh besar berkenaan disiarkan serta karya-karya mereka.

Justeru katanya sangat tidak wajar kesilapan sedemikian berlaku.

Guru bangsa

Bekas wartawan Utusan Malaysia dari 1997 hingga 2006, Noor Azam Shairi, berkata pensyarah dan pengarang adalah dalam kalangan inteligensia masyarakat.

Katanya mereka dianggap sebagai cerdik pandai yang menjadi penyambung lidah serta jurucakap masyarakat.

Noor Azam Shairi

"Malang sekali sekiranya cerdik pandai itu gagal membezakan antara A Samad Ismail dan A Samad Said.

"Kedua-dua Samad itu adalah guru bangsa yang sudah berkongsi banyak ilmu kepada kita.

"Ironinya, Utusan Malaysia - atau dulunya Utusan Melayu - suatu masa dulu dibesarkan dan membesar dengan kedua-dua Samad ini.

"Profesor yang menulis satu hal, editor yang menyunting satu hal yang lain pula. Ini satu tragedi keilmuan dan malang besar untuk kita," katanya.

Mohd Dahri Zakaria

Penyelaras Liga Penulis Kelantan, Mohd Dahri Zakaria, berkata kesilapan besar itu sangat tidak patut berlaku, bahkan memalukan khususnya bagi kalangan individu yang bergelumang dalam dunia akademik.

"Jelas ada yang tidak begitu teliti dan tidak cermat dalam mengemukakan fakta dan ini hanya akan memberikan imej yang buruk kepada khalayak.

"Nama besar dua sasterawan dan wartawan itu berserta karya-karya mereka seharusnya menjadi asas pengetahuan bagi beliau," katanya.

Helmy Samad (kiri) bersama bapanya, A Samad Said.

Sementara itu anak Samad Said, Helmy, menganggap kesilapan tersebut bukanlah satu isu kerana ia memang tidak disengajakan.

Boleh jadi, katanya, kesilapan tersebut berlaku akibat bebanan kerja penulis atau sebarang faktor lain sehingga dia terlepas pandang.

"Pada saya, kesilapan itu lebih berat terletak pada pengarang akhbar tersebut.

"Sepatutnya perkara seperti semakan fakta-fakta ini merupakan tanggungjawab utama dalam proses penyuntingan.

"Penulis mungkin tidak perasan, tapi bagaimana pengarang juga 'terlepas' pandang? Tidak adakah semakan fakta sebelum tulisan itu diterbitkan?

"Perkara yang terjadi sekarang ialah, ada dua kali tersilap," kata Helmy sambil menegaskan pihaknya tidak ada sebarang isu dan menganggap ia sekadar sesuatu yang tidak disengajakan.

Sementara itu penulis artikel tersebut, Ismail Sualman, sudah memohon maaf dan mengakui kesilapannya.

Ismail Sualman

Menyatakan kekesalan itu pada ruangan komen Facebook Fauzi, Ismail juga mengucapkan terima kasih kerana membetulkan kesilapan tersebut.

"Assalam. Saya penulis artikel dengan ini menyedari dan mengakui kesilapan fakta.

"Maaf dan (saya) tidak akan melakukan kesilapan pada masa akan datang.

"Terima kasih kerana memperbetulkan kesilapan berkenaan. Semoga kita dipermudahkan segala urusan," katanya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi daripada pihak akhbar berkenaan untuk komen mereka.

Lihat Komen
ADS