Saya merujuk kepada kenyataan kontroversi terbaru Mahathir Mohamad yang mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana mereka masih 'terikat' dengan negara asal. 

Bercakap dalam temu bual eksklusif dengan saluran TV satelit India, Thanthi TV, dia berkata seseorang itu harus dikenali sebagai orang Melayu untuk berhak untuk menganggap Malaysia sebagai negara sendiri. 

Sebagai seorang warganegara Malaysia, apa yang dinyatakan oleh Mahathir lebih mencetuskan persoalan dan perasaan ingin tahu untuk memahami analisis di sebalik kenyataan itu daripada menghakimi dan mengecamnya. 

Biarpun jelas kenyataan negarawan veteran itu mencerminkan pemikiran zamannya, namun ia membuka perbualan penting mengenai identiti kita sebagai orang Malaysia dan maksudnya. 

Biar apa pun, kenyataan Mahathir untuk menganggap diri sebagai orang Malaysia sebagai orang Melayu mencetus persoalan penting. 

Ini persoalan identiti kita sebagai orang Malaysia dan maksud perkataan ‘Malaysia’ itu sendiri pernah terlintas beberapa kali dalam proses rekonsiliasi identiti diri dengan identiti negara. 

Menurut buku Placenames of the world: Origins and meanings tulisan seorang felo Persatuan Diraja British bernama Adrian Room, nama Malaysia terbentuk daripada dua perkataan Bahasa Greek iaitu ‘Malay’, dan ‘sia’.

Malay’ ialah perkataan Greek untuk ‘Melayu’; manakala ‘sia’ pula satu kata akhiran dalam Bahasa Greek yang bererti ‘negara’ (‘σία’ dalam abjad Greek); yang menurut terjemahan harfiah untuk ‘Malaysia’ ke dalam bahasa Inggeris ialah ‘Malay nation’ dan terjemahan harfiah ke Bahasa Melayu ialah ‘Negara Melayu.

Persoalannya, adakah kita semua Melayu bila kita menganggap atau merujuk kepada diri kita sebagai orang Malaysia?

Perkara ini menjadi kontroversi bila dibawa ke ruang awam terutamanya dalam konteks Sabah dan Sarawak yang juga orang asal berbilang agama yang mempunyai identiti tersendiri yang tidak selari dengan Perkara 160 (2) yang meletakkan syarat agama. 

Begitu juga dengan etnik etnik lain seperti Cina dan India yang juga bukan beragama Islam merasa janggal dengan identiti sebagai Melayu atas faktor yang sama. 

Namun, perkara ini menjadi relevan kerana bila kita menganggap diri kita sebagai orang Malaysia, tanpa sedar atau tidak kita sedang membawa identiti sebagai Orang Melayu atau ‘Malay people’ sebagai satu negara bangsa. 

Namun, apa yang tersirat ini tidak menggarap imaginasi umum kerana kita mengamalkan sistem liberal. Semua bangsa hidup dalam 'gelembung' identiti dan realiti sendiri tetapi juga merujuk kepada diri kita sendiri sebagai orang Malaysia terutamanya bila di luar negara. 

Bolehkah kita selesaikan kontroversi ini dan bergerak ke depan sebagai negara bangsa setelah lebih 50 tahun menjadi negara?

Bergerak ke depan

Adakah kita boleh terima yang kita ini semua sebenarnya orang Melayu bila disebut sebagai orang Malaysia? 

Masalahnya di Malaysia bersifat kompleks dan mempunyai cabaran tertentu dari kedua-dua pihak yang bertentangan dalam perkara ini. 

Kita sudah terlalu biasa dan leka dalam kehidupan gelembung yang semakin menebal. Setiap kaum membayangkan identiti negara ikut acuan masing-masing dan hanya bersama untuk tujuan simbolik semata-semata bila bercakap mengenai identiti kita sebagai orang Malaysia. 

Lebih merumitkan lagi keadaan ialah ‘intercultural engagement’ atau penglibatan antara budaya dan semangat ambil tahu mengenai warisan dan sejarah etnik serta tanah yang diduduki ini semakin pudar dalam mimpi ini. 

Kontroversi ketuanan Melayu dan politik agama juga cenderung untuk mengasingkan masyarakat pelbagai bangsa dari berinteraksi dengan bebas serta dialog tapi hanya sekadar interaksi formal sahaja. 

Begitu juga dengan pemikiran 'supremist' yang melihat warisan, bahasa dan tradisi asal tempatan sebagai 'inferior' atau rendah dan melayan tanah yg diduduki sebagai settlers state dengan sekadar bertoleransi dengan warisan tempatan. 

Sabah Sarawak pula dari awal lagi berkecuali dan membawa aspirasi mengenai identiti sendiri kerana takut kolonisasi serta hilang identiti dengan kuasa dominan dari seberang, sehingga wujud sistem imigresen sesama wilayah dalam negara sendiri. 

Begitu juga dengan sikap orang semenanjung yang melihat warga Sabah-Sarawak sebagai orang asing dengan prejudis dan stereotaip. 

Semua perkara ini menghalang kita dari membicarakan persoalan penting identiti sebagai orang Malaysia yang sebenarnya bermaksud orang Melayu selain isu perkara 160 (2).

Gajah dalam bilik, ‘elephant in the room’

Masalahnya, sehingga hari ini, kontroversi identiti negara bangsa masih tidak terjawab kerana tiada satu pun pemimpin yang peduli pasal membina negara serta negara bangsa. 

Kalau bukan slogan untuk tujuan identiti politik, kita sering hentam-menghentam sesama sendiri setiap kali ada hujah mengenai isu ini. 

Mengeruhkan lagi keadaan, luahan kita sering dalam konteks politik kepartian dan bukan untuk membina perbualan yang objektif. 

Kita juga semakin terpisah kerana kita mempunyai mimpi yang berbeza biarpun sedang tidur di atas katil yang sama. 

Namun, tidur ini tidak sempurna sehingga isu persoalan negara bangsa dan identiti ini diperjelaskan dan diperkasakan kerana duri polemik politik mempunyai risiko untuk pecahkan gelembung rapuh ini.

Persoalan yang perlu dijawab ialah adakah kita ini sebuah negara multikultural atau pelbagai kaum yang semua kaum dan agama serta budaya sama rata dan bersifat liberal seperti Indonesia?

Atau kita adalah sebuah negara Melayu-Islam yang bertoleransi dengan kaum serta agama lain termasuk wilayah-wilayah yang di federasi iaitu Sabah dan Sarawak melalui kontrak sosial dan perjanjian penjajah? 

Ini gajah di depan mata yang pura-pura tidak dilihat oleh mereka mereka yang memegang amanah negara. 

Adakah istilah Melayu yang sebenarnya luas dan bersifat inklusif yang diistilahkan British yang membawa pelbagai etnik etnik di Nusantara dan dari luar bawah satu identiti boleh diperluaskan kepada semua umat Malaysia? 

Persoalannya rumit dan perlu pendekatan melangkaui kepentingan politik dan kematangan bual bicara. 

Solusinya mungkin tidak mudah kerana kekusutan yang kita warisi dan prasangka yang tebal.

Namun, kita sebagai orang Malaysia mempunyai satu keunikan yang luar biasa, iaitu Bahasa yang mengikat kita sebagai satu umat negara. 

Kita menjadi orang Malaysia atau orang Melayu berasaskan bangsa yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai lingua franca sebagai ikatan serta nilai liberal kita memperkasakan warisan dan sejarah bumi ini serta identiti semua kaum dan etnik dipelihara dan dilindungi melalui Rukun Negara? 

Keunikan ini jelas menjadi kekuatan kita. Jika dibandingkan dengan negara seperti India, bahasa yang digunakan terputus dan jadi asing hanya sekadar bila masuk ke negeri lain.

Bolehkah kita jadi seperti Inggeris atau Sepanyol hari ini yang mempunyai identiti negara bangsa berasaskan ikatan bahasa serta nilai nilai progresif serta perlindungan warisan legasi tanah dalam kepelbagaian? 

Ataupun, kita harus menjadi seperti Australia yang mengetepikan legasi bahasa,warisan budaya dan tanah ke muzium dan mengambil identiti dari legasi penjajah dengan Bahasa Inggeris sebagai ikatan dan baginda raja British sebagai simbol warisan negara? 

Ataupun kita mahu menjadi seperti Singapura yang juga memencenkan warisan ke muzium dan menggunakan tiga bahasa sebagai ikatan biarpun kita mempunyai puluhan bahasa peribumi Orang Asli dan orang asal  Sabah dan Sarawak? 

Kita boleh terus abaikan perkara ini dan teruskan budaya kecam mengecam atau mulakan perbualan yang sihat dengan melihat gajah di depan mata dan bergerak sebagai negara bangsa yang matang tanpa was-was dengan kepelbagaian. 

Hanya untuk mencetus perbualan dari kontroversi seorang negarawan veteran sebagai kesetiaan kepada sebuah negara bangsa dengan semangat Madani. 


K SHAN ialah seorang aktivis sosial.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.