Sebutir bom mortar berukuran panjang 40 sentimeter (cm) ditemukan di pekarangan rumah penjagaan warga emas, Rumah Seri Kenangan di Kota Bharu, Kelantan semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud berkata pihaknya menerima panggilan seorang lelaki berusia dalam lingkungan usia 40 tahun menyatakan penemuan objek menyerupai bom.
Menurutnya dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu pengadu mahu menggali lubang bagi tujuan penanaman kabel menggunakan jentera backhoe dan menjumpai objek seakan bahan letupan.
“Pihak polis dari unit pemusnah bom pergi ke tempat kejadian dan mengesahkan bahawa objek berkenaan merupakan unexploded ordinance (UXO) jenis mortar bomb 81mm berukuran panjang 40 cm yang sudah berkarat dan tiada sebarang tandaan.
“Kira-kira jam 4.17 petang bom tersebut berjaya dimusnahkan di satu kawasan yang selamat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Tambah Mohd Rosli, tiada sebarang kemalangan atau sebarang insiden yang tidak diingini berlaku sepanjang proses pemusnahan bom dilakukan.
