Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saman video lucah: Wahab tuntut RM5 juta daripada Chegubard

Pegawai Jabatan Komunikasi Masyarakat (J-Kom) Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani mengemukakan saman menuntut RM5 juta sebagai ganti rugi teruk dan teladan daripada ahli jawatankuasa penerangan Bersatu Badrul Hisham Shaharin, atas dakwaan memfitnah.

Ini adalah antara senarai relif yang terkandung dalam saman fitnah plaintif yang difailkan terhadap defendan, yang juga dikenali sebagai Chegubard, berhubung penyebaran video yang didakwa mengandungi perbualan lucah.

Video itu didakwa memaparkan individu yang kelihatan seperti bekas ketua pengarah J-Kom Mohammad Agus Yusoff dan Wahab.

Ketika dihubungi Malaysiakini baru-baru ini, peguam Wahab, Faizal Rahman mengesahkan bahawa writ saman telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Dis tahun lalu, dan salinan kertas kausa telah diserahkan kepada Chegubard.

Menurut salinan pernyataan tuntutan, Wahab bukan sahaja menuntut RM5 juta sebagai ganti rugi teruk dan teladan, tetapi juga permohonan maaf untuk disiarkan di akaun media sosial defendan serta beberapa akhbar.

Plaintif turut memohon perintah mahkamah untuk memaksa defendan mengeluarkan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah itu daripada semua platform media sosial, dan menghalang defendan daripada mengulangi kenyataan tersebut.

Inti saman Wahab adalah berhubung kenyataan Chegubard yang didakwa berunsur fitnah yang mengandungi catatan di laman Facebook defendan antara 16 dan 17 Nov tahun lepas.

Badrul Hisham Shaharin

Malaysiakini sedang berusaha menghubungi Chegubard berhubung perkara itu.

Pada 15 Dis tahun lalu, pasukan peguam Wahab dipetik sebagai berkata dia sedang membuat persediaan untuk memfailkan tindakan sivil terhadap Chegubard.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Wahab mengeluarkan surat tuntutan berhubung penyebaran video tersebut.

Sebuah video perbualan dengan seorang lelaki yang kelihatan seperti Agus menjadi tular pada 17 Nov.

Susulan itu, Agus meletakkan jawatan sebagai ketua pengarah J-Kom dan mendakwa video perbualan membabitkannya adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab.

Pada sidang media khas berhubung isu itu, Wahab mendakwa dia dijadikan kambing hitam untuk menjatuhkan Agus oleh individu bernama “Mr H”.

Lihat Komen
ADS