Tuduh kaum India tidak setia, polis akan rakam kenyataan Mahathir
Polis akan merakamkan kenyataan Dr Mahathir Mohamad berhubung kenyataan yang dibuat oleh bekas perdana menteri itu mengenai masyarakat India dan Cina dalam temu bual baru-baru ini.
Seorang pembantu Mahathir, memberitahu Malaysiakini, kenyataan itu dijadual akan dirakamkan pada jam 3 petang ini di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.
Pada 13 Januari lalu, Mahathir dilaporkan mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana mereka masih 'terikat' dengan negara asal mereka.
Bercakap dalam temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit India, Thanthi TV, Mahathir berkata seseorang itu harus dikenali sebagai orang Melayu untuk berhak untuk menganggap Malaysia sebagai negara sendiri.
"Orang India Malaysia tidak bercakap bahasa Melayu sebagai bahasa asal mereka, mereka bercakap Tamil," katanya ketika hos bertanya jika seseorang itu tidak boleh kekal setia kepada negara didiami sambil komited kepada asal usul mereka.
Mahathir kemudian berkata bahawa "masalah" dia ialah apabila "pendatang" (merujuk kepada kaum India dan Cina) menganggap Malaysia sebagai negara sendiri tapi pada masa sama terus mengamalkan budaya dan adat mereka sendiri.
Apabila hos program itu bertanya sama ada Mahathir menjangkakan orang bukan Melayu "berasimilasi sepenuhnya" menjadi orang Melayu atau tidak, Mahathir menjawab dengan tegas: "Ya... mereka sepatutnya begitu; dahulu kami ada orang India, Pakistan, Arab, dan Afrika, yang kini Melayu, dalam maksud mereka berbahasa Melayu di rumah, budaya mereka adalah Melayu."
Hos kemudian bertanya jika Mahathir mengharapkan semua kaum di Malaysia dikenali sebagai Melayu dan bukannya rakyat Malaysia.
"Sepatutnya begitu," kata ahli politik yang pernah menjadi perdana menteri sebanyak dua kali itu.
Susulan kenyataan itu, beberpa pihak membuat laporan polis ke atasnya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/01/d9b76ebab5accc1a6926b6914f2a5fdd.jpg)
