Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mara akan takrifkan semula kategori B40, M40, T20
Diterbitkan:  Jan 24, 2024 2:03 PM
Dikemaskini: 8:22 AM

Peningkatan kos sara hidup dan perbezaan kehidupan antara kawasan bandar dan luar bandar mewajarkan langkah untuk mentakrifkan semula pengkategorian B40, M40 dan T20, kata Asyraf Wajdi Dusuki.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) itu berkata takrifan baru terhadap kumpulan itu akan dimulakan di Mara terlebih dulu bagi memastikan masyarakat mendapat pembelaan yang adil.

"Realitinya dengan kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat dan perbezaan hambatan dan cabaran kehidupan di bandar dan luar bandar memerlukan satu kaedah yang lebih holistik, adil dan saksama dengan mengambil kira pendapatan boleh guna bersih keluarga.

"Sebagai contoh, satu keluarga yang berpendapatan RM5,000 dengan tanggungan lima orang anak, menjaga ibu yang sakit dan tinggal di bandar walaupun dianggap kategori M40 tapi hakikatnya bila dikira pendapatan boleh guna bersih adalah seperti B40," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu dalam hantaran di Facebook, Asyraf berkata Mara akan mentakrifkan semula pengkategorian B40, M40 dan T20.

Katanya, takrifan B40,M40 dan T20 kini tidak memadai dengan melihat pendapatan isi rumah sahaja, tetapi perlu mengambil kira pelbagai aspek.

"Definisi B40, M40 dan T20 perlu ditakrifkan semula. Tidak wajar hanya dilihat aspek pendapatan isi rumah sahaja.

"Perlu ambil kira tanggungan seperti anak-anak, orang tua dan faktor bandar-luar bandar. Mara akan mulakan (takrifan semula)," katanya.

Ketika ini kerajaan mentakrifkan B40 sebagai isi rumah dengan pendapatan bulanan bawah RM4,850.

Golongan pertengahan, atau M40 pula, untuk isi rumah berpendapatan bulanan RM4,851 hingga RM10,970. Golongan T20 yang merupakan golongan berpendapatan tinggi pula dengan pendapatan bulanan RM10,971 ke atas.

Terdahulu, isu pendapatan isi rumah berbangkit apabila Asyraf menegur ibu bapa yang memalsukan pendapatan dengan mendakwa mereka dalam kategori B40 agar anak mereka mempunyai lebih peluang untuk diterima sebagai pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Ini kerana dasar Mara menetapkan 60 peratus pelajar MRSM adalah daripada golongan itu, manakala selebihnya adalah calon yang lulus Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM atau UKKM daripada kumpulan M40 dan T20.

Ada pula kalangan ibu bapa yang berpendapatan tinggi berkata mereka ingin menghantar anak ke MRSM untuk mengajar mereka tentang kesukaran hidup.

Namun Presiden Anak Sains Mara (Ansara) Malaysia, Mohd Fadzil Yusof kurang senang dengan sebab yang diberikan itu dan mencadangkan pelajar daripada golongan itu membayar yuran untuk belajar di institusi tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS