Kerajaan memandang pandang serius terhadap tindakan beberapa individu dan pertubuhan yang “mengheret” pihak Istana dalam perhimpunan tanpa pemakluman, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Sehubungan itu, katanya, pihak polis akan memanggil pihak penganjur serta beberapa individu lain yang terlibat dalam himpunan di luar pintu Istana Negara, semalam.

Ini kerana, katanya, mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012), penganjur mana-mana himpunan diperlukan untuk memaklumkan kepada pihak polis bagi memohon kebenaran sebelum menganjurkan apa-apa perhimpunan secara aman.

Dalam hal ini, kata Saifuddin, pihak penganjur jelas gagal menuruti syarat yang diperuntukkan.

Saifuddin Nasution Ismail

"Apa yang berlaku pada himpunan di istana, jelas penganjur tak pernah maklum (memohon kebenaran polis), ini fakta yang pertama.

"Jadi, bila tak maklum, maknanya, dia tak comply dengan akta perhimpunan. Jika pihak Polis panggil penganjur, penganjur tak boleh play victim (berpura-pura menjadi mangsa)," kata Saifuddin pada sidang media di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya, hari ini.

Jelas Saifuddin, walaupun perhimpunan aman dibenarkan mengikut Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, ia masih tertakluk kepada beberapa perincian, antaranya mengenai tanggungjawab penganjur, polis serta peserta perhimpunan.

"Keengganan mereka (penganjur) melakukan perkara yang paling asas, iaitu memaklumkan kepada pihak polis, tidak berlaku," katanya.

Saifuddin turut merujuk satu laporan polis yang dibuat oleh pegawai perhubungan Istana Negara Mohd Husni Yusop pada 22 Jan yang menafikan dakwaan tiga wakil PN dipanggil mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, laporan itu secara jelas memaklumkan bahawa pihak Istana tidak pernah memberi perkenan untuk terima mengadap (wakil penganjur).

"Hebahan oleh penganjur ialah (menggunakan) ayat - bahawa pihak Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan untuk wakilnya masuk mengadap dan menyerahkan dokumen dan sebagainya.

"Perbuatan ini mengheret sama institusi Istana dalam perhimpunan yang tidak dimaklumkan kepada pihak polis, jadi itu mendorong laporan polis dibuat.

"Kami memandang serius hal ini dan percaya pihak polis akan melakukan tindakan sesuai dengan semua arahan dan aturan yang diperuntukkan," tegasnya.

Dia berkata polis akan membuat siasatan melalui satu pasukan petugas khas dan kebiasaannya, siasatan akan mengambil masa selama tujuh hari sebelum keputusan siasatan diserahkan kepada Peguam Negara bagi tindakan selanjutnya.

Tak sekat himpunan aman

Kata Saifuddin lagi, berlaku pelanggaran undang-undang apabila perhimpunan itu mengaitkan pihak Istana.

"Penting untuk saya jelaskan keadaan ini, kerana hal yang berlaku (jika) soal perbezaan politik dan perbezaan pendapat, tiada masalah.

Bekas PM Dr Mahathir Mohamad turut hadir himpunan di Istana Negara semalam.

"Cuma, apabila satu himpunan yang melibatkan satu premis penting, kemudian berlaku pula pelanggaran undang-undang, yang itu, seharusnya pihak berkenaan mengambil tanggungjawab atas perkara yang mereka lakukan," katanya.

Menurutnya, dakwaan pihak kerajaan menghalang sebarang penganjuran perhimpunan secara aman adalah tidak benar.

Dia menyatakan statistik sepanjang tahun 2023, sebanyak 78 perhimpunan telah dianjurkan namun tiada sebarang pertuduhan dibuat.

Saifuddin turut memetik statistik beberapa negeri seperti Kuala Lumpur dengan 19 perhimpunan dianjurkan, diikuti Pulau Pinang (15), Perak (9), Selangor (8) dan Kedah (1).

"Pendekatan polis adalah panggil dan beri nasihat, jadi, kalau ada yang mengatakan perhimpunan atau kebebasan bersuara disekat, tiada manusia yang akan percaya," katanya lagi.

Semalam, Bernama melaporkan dianggarkan kira-kira 1,000 peserta hadir pada ‘Himpunan Selamatkan Rakyat’ yang dianjurkan oleh sekretariat Pembela Tanah Air (PETA) di luar pintu 2, Istana Negara di Kuala Lumpur.

Perhimpunan berkenaan yang turut disertai bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, dipercayai bertujuan untuk menyerahkan 'Memorandum Rakyat' kepada pihak Istana Negara.

Ketika disoal, adakah Dr Mahathir juga antara yang akan disiasat, Saifuddin menjawab, setakat ini, pihaknya tidak mempunyai apa-apa maklumat berhubung hal tersebut.