Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahathir turut turun demo depan istana
Diterbitkan:  Jan 23, 2024 2:54 PM
Dikemaskini: 8:56 AM

Sekumpulan orang berhimpun di hadapan Istana Negara, di Kuala Lumpur, hari ini, bagi membawa suara rakyat dalam himpunan “Selamatkan Tanah Air Kita Suara Rakyat Ke Istana Negara”.

Mereka termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Tanpa memberikan sebarang dalil, pemimpin yang bersama pakatan pembangkang yang berusia 98 tahun itu mendakwa  akibat kenaikan kos dan ekonomi negara yang merudum, kadar bunuh diri di kalangan masyarakat Melayu semakin membimbangkan.

“Tujuh belas orang, orang Melayu yang bunuh diri.

"Ada yang membunuh mak, yang bunuh ibu bapa kerana hilang punca dan tertekan sangat-sangat,” dakwanya tanpa mengemukakan sebarang bukti.

Memorandum kemudiannya diserahkan kepada pegawai Istana Negara oleh empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa mewakili kepentingan Melayu dan Islam. Namun nama NGO berkenaan tidak didedahkan.

Memorandum itu antara lain, mendakwa kerajaan semasa di bawah Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah gagal dan menggesa Yang di-Pertuan Agong mengambil tindakan yang munasabah terhadap kepimpinan negara.

Ia juga mendakwa Raja-raja Melayu telah dihina susulan catatan blog yang mendakwa pembangkang cuba merasuah Yang di-Pertuan Agong supaya menukar kerajaan.

Selain itu, ia juga mendakwa mahkamah telah menceroboh kuasa Raja-raja Melayu sebagai ketua hal ehwal Islam di negeri masing-masing.

Antara yang hadir adalah Aminuddin Yahaya yang mengakui sebagai salah seorang daripada empat wakil NGO tersebut danpenyelaras gerakan Pembela Tanah Air (Peta), Badrul Hisham Shaharin, atau lebih dikenali sebagai Chegubard.

Chegubard berkata, isu ketidakharmonian kaum dan ketidakstabilan politik di negara ini adalah hasil daripada apa yang dipanggilnya ‘AZD’, singkatan kepada Anwar, Zahid dan DAP.

Dia juga menuduh kerajaan menggunakan SPRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk mengekang perbezaan pendapat.

Peserta juga melaungkan takbir sambil mengangkat sepanduk membawa mesej 'Rakyat Bersama Hemat Yang di-Pertuan Agong'.

Turut bergema adalah laungan “hidup rakyat”,  “Anwar derhaka” dan “Daulat Tuanku”.

Lihat Komen
ADS