Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BPR zaman Mahathir dah siasat Anwar tapi tiada kes - SPRM
Diterbitkan:  Jan 24, 2024 5:12 PM
Dikemaskini: 9:12 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyangkal "tohmahan" Dr Mahathir Mohamad bahawa agensi itu tidak bertindak terhadap Anwar Ibrahim berikutan dakwaan oleh bekas penolong gabenor Bank Negara.

Sebaliknya, SPRM berkata siasatan terhadap dakwaan itu telah dijalankan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) ketika Mahathir menjadi perdana menteri, tetapi ia tidak membuahkan hasil.

SPRM pada kenyataan hari ini berkata BPR telah membuka enam kertas siasatan terhadap Anwar selepas bekas penolong gabenor Bank Negara Abdul Murad Khalid (gambar bawah) membuat akuan berkanun pada Okt 1999 dengan mendakwa Anwar mempunyai kira-kira RM3 bilion dalam 20 akaun peribadi yang berasingan.

Dia juga mendakwa dia telah menguruskan pemindahan kira-kira RM120 juta ke akaun tersebut.

SPRM berkata bahawa siasatan BPR terhadap dakwaan itu adalah menyeluruh dan mendapat bantuan daripada Bank Negara, serta pihak berkuasa di UK dan Singapura

"Siasatan telah dijalankan secara mendalam, menyeluruh dan terperinci dengan bantuan Bank Negara Malaysia termasuk di dalam dan luar negara seperti United Kingdom dan Singapura.

"Hasil siasatan menunjukkan tiada sebarang kes terhadap Dato’ Seri Anwar," kata suruhanjaya itu.

Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri pada 2003.

Bekas ahli parlimen Langkawi membangkitkan kembali mengenai dakwaan Abdul Murad itu sambil menyoal mengapa Anwar tidak disiasat kerana rasuah.

Untuk rekod, Abdul Murad dilaporkan telah menarik balik akuan berkanun (SD) yang dibuatnya dan menuduh BPR memaksa dia menandatangani dokumen tersebut.

Lihat Komen
ADS