Kes kusta di Malaysia meningkat 40 peratus pada 2023
Kes baru kusta dalam negara ini meningkat sebanyak 40 peratus kepada 256 pada 2023 berbanding 183 kes tahun sebelumnya.
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dalam kenyataan sempena Hari Kusta Sedunia berkata peningkatan berkenaan berlaku berikutan pengukuhan aktiviti mencari dan mengesan kes secara bersasar di lapangan.
“Pengukuhan aktiviti ini adalah selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi mencapai sasaran sifar kes kusta tempatan baru menjelang 2030.
"Pengesanan awal kes dan kontak rapat dapat mengawal penyakit kusta daripada terus merebak, manakala rawatan awal dapat mengurangkan dan mencegah komplikasi penyakit dan kecacatan kekal,” katanya.
Dia berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut melaksanakan pemberian rawatan profilaksis dos tunggal Rifampicin kepada kontak rapat dan komuniti berisiko seperti disarankan WHO sebagai langkah tambahan bagi mengurangkan risiko.
Hari Kusta Sedunia disambut pada hari Ahad terakhir Januari setiap tahun untuk memberi kesedaran dan pengetahuan kepada masyarakat bahawa penyakit itu masih wujud dan boleh berjangkit.
Tema Hari Kusta Sedunia pada tahun ini ialah Hentikan Kusta yang menyeru kepada semua pihak untuk bersama-sama mencegah penularan dan menghentikan jangkitan kusta di Malaysia.
Dzulkefly berkata individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan kusta perlu menjalani ujian torehan kulit atau biopsi kulit bagi pengesahan diagnosis.
“Penyakit ini boleh sembuh dengan pengambilan multi drug therapy (MDT) yang perlu diambil setiap hari dalam tempoh 6 bulan sehingga 18 bulan.
"Namun jika lewat atau tidak mendapatkan rawatan, pesakit boleh mendapat komplikasi seperti buta, kelemahan dan kecacatan kekal di otot kaki dan tangan,” katanya.
KKM juga menyeru setiap individu melibatkan diri dalam aktiviti yang boleh mewujudkan kesedaran mengenai penyakit kusta.
“Persekitaran yang positif dan sokongan kepada pesakit dan individu yang terkesan dengan penyakit kusta amat diperlukan supaya kualiti hidup mereka dipertingkatkan, stigma dan diskriminasi dapat ditamatkan dan sasaran sifar kes kusta baharu tempatan dapat dicapai,” katanya.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/12/0b48fb35413be5e9cb978ad870a679be.jpg)
