DAP berharap kerjasama parti itu dengan BN sekarang dapat diteruskan sehingga beberapa tahun mendatang apabila PRU ke-16 dilangsungkan.

Setiausaha agung part itu Anthony Loke berkata ketika ini hubungan kerjasama kedua-dua parti dalam kerajaan berlangsung dalam keadaan ikhlas.

"Kami dah pun bekerjasama dan sekarang dalam kerajaan perpaduan, kita (DAP dan BN) bekerjasama dengan ikhlas dan jujur.

"Setiap parti dalam kerajaan perpaduan harus berusaha seikhlas-ihklasnya," kata Loke dalam sidang media di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya, hari ini.

Menurut menteri pengangkutan itu, DAP dan parti kerajaan memang menyambut baik nasihat yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Katanya baginda menitahkan agar politik dikurangkan sebaliknya semua pihak perlu memberikan fokus kepada usaha membangunkan negara sehinggalah tiba waktu untuk parlimen dibubarkan.

"Atas semangat itu, kita akan teruskan kerjasama untuk memperkukuhkan lagi kerajaan dan berharap ia berterusan sehingga PRU ke-16 nanti," katanya.

Ahad lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi terlebih dulu menyatakan hasratnya melihat kerjasama kedua-dua parti diteruskan.

Berucap di Konvensyen Kerajaan Perpaduan Perak di Ipoh, Ahmad Zahid berkata kerjasama kukuh yang ada sekarang mesti dipertahankan.

Di peringkat negeri pula, kata timbalan perdana menteri itu, semua pihak perlu memastikan keserasian tersebut dijelmakan sehingga ke peringkat akar umbi.

Kata Ahmad Zahid di Perak sendiri keikhlasan kerjasama itu dibuktikan oleh PH - yang turut dianggotai DAP - dalam isu pemilihan menteri besar.

"Sepatutnya PH boleh tuntut kerusi MB Perak tapi keikhlasan PH telah memberikan mandat kepada BN untuk jadi MB.

"Jika keikhlasan ini kita boleh pertahankan, terus bergerak di akar umbi dan bekerja untuk menentukan bahawa dukungan itu terus (dapat) kepada kita," katanya seperti dilapor BH Online.