Suaram menyelar tindakan Jabatan Imigresen kerana melanggar perintah mahkamah dengan mengeluarkan arahan untuk menghantar pulang ahli politik pembangkang Bangladesh, MA Quayum.

Pengarah eksekutif kumpulan hak asasi manusia itu, Sevan Doraisamy turut menggesa Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail campur tangan bagi memastikan pengusiran itu tidak berlaku.

"Peguam Quayum hanya dimaklumkan mengenai perkembangan ini enam hari kemudian (selepas perintah pengusiran bertarikh 24 Jan). Sama ada Quayum masih berada di Malaysia atau telah dihantar pulang tidak dapat dipastikan.

"Kami mengutuk sekeras-kerasnya perintah pengusiran ini, kerana ini bertentangan dengan keputusan mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 Januari untuk menangguhkan pengusiran Quayum sehingga tamat prosiding permohonan habeas corpus Quayum," kata Sevan dalam satu kenyataan pagi ini.

Menurutnya, pelanggaran perintah mahkamah itu menafikan dakwaan yang dikemukakan oleh delegasi Malaysia dalam sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) pada Jumaat lalu yang mengatakan “bantuan kemanusiaan” diberikan kepada pelarian dan pencari suaka.

Di samping itu, ia juga mengukuhkan reputasi Malaysia yang "terkenal" dalam layanan terhadap pelarian dan pencari suaka, termasuk penangkapan, penahanan dan pengusiran sewenang-wenangnya, kata Sevan.

"Perlu diperhatikan juga bahawa kekurangan kerangka dasar nasional di Malaysia sejak sekian lama untuk melindungi kumpulan terpinggir ini telah menjadi perhatian buat kali pertama sejak kitaran UPR pertama, dengan cadangan yang sepadan atau serupa diberikan oleh sekurang-kurangnya lapan negara dari Eropah, Amerika Selatan, Afrika Barat, dan Asia Selatan.

"Pelanggaran prinsip non-refoulment bercanggah dengan prinsip asas hak asasi manusia iaitu kebebasan, keadilan dan keselamatan untuk semua yang kerajaan Madani telah nyatakan dengan bersungguh-sungguh kepada 131 negara di peringkat antarabangsa pada 25 Januari 2024," katanya.

"Memandangkan Malaysia berusaha untuk bekerjasama dengan negara lain, agensi-agensi PBB, dan rakan kongsi utama lain untuk 'memperbaiki lagi usaha membantu pelarian dan pencari suaka', adalah mustahak kerajaan Madani juga menghormati dan melindungi hak pelarian, termasuk menahan diri daripada mengarahkan mereka pulang secara paksa ke negara di mana mereka mungkin menghadapi bahaya," tambah Sevan.

Quayum ditahan dalam operasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Perisikan Keselamatan Negara (NSI) Bangladesh pada 12 Jan lalu di kediamannya di Ampang.

Suaram sebelum ini mendakwa penahanan Quayum adalah sebahagian daripada tindakan keras oleh kerajaan Bangladesh terhadap ahli politik pembangkang.

Quayum dilaporkan menyertai program Malaysia My Second Home (MM2H) sejak 2015.

Bagaimanapun, dokumen menunjukkan pas MM2H miliknya telah dibatalkan selepas dia ditahan sehari selepas perintah penangguhan dikeluarkan.