DAP gesa semua pihak bertenang isu pengurangan hukuman Najib
DAP menggesa semua pihak bersikap tenang susulan pengurangan hukuman terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menegaskan bahawa keputusan Lembaga Pengampunan mengenai perkara itu adalah muktamad, dan tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.
“Kami difahamkan beberapa penyokong Pakatan Harapan (PH) kecewa dengan pengurangan hukuman Najib.
"Tetapi keputusan Lembaga Pengampunan adalah muktamad, dan kabinet sama sekali tidak terlibat dalam keputusan itu," kata Loke, yang juga menteri pengangkutan, kepada pemberita di Seremban, Negeri Sembilan, hari ini.
Semalam, Lembaga Pengampunan mengumumkan bahawa ia telah mengurangkan tempoh penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun.
Ini bermakna Najib akan dibebaskan dari penjara pada 23 Ogos 2028.
Dalam mesyuarat pada 29 Jan, lembaga itu juga mengurangkan denda yang dikenakan ke atas bekas perdana menteri itu daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Mengulas lanjut, Loke menyatakan bahawa undang-undang negara memberi ruang kepada mana-mana banduan untuk meminta pengampunan atas jenayah mereka.
"[Dalam kes ini] dia (Najib) tidak diampunkan. Dia tetap bersalah atas pertuduhannya, tetapi hanya hukuman dikurangkan separuh.
“Sebab (pengurangan hukuman) ini hanya diketahui oleh Lembaga Pengampunan,” tambah Loke.
Dia seterusnya menegaskan Najib masih mempunyai kes-kes mahkamah lain yang sedang berjalan mengenai skandal 1MDB.
"Terdapat pelbagai reaksi (terhadap perkara itu). Ada yang kecewa Najib tidak dibebaskan, manakala yang lain kecewa hukumannya dikurangkan. Saya menggesa semua orang untuk bertenang," tambahnya.
Loke berkata perkembangan itu tidak akan menjejaskan hubungan DAP dengan Umno/BN dalam kerajaan campuran.
Ditanya sama ada ia akan memberi kesan kepada peluang gabungan itu dalam pilihan raya umum akan datang, Loke berkata seseorang tidak boleh tahu apa yang akan berlaku dalam beberapa tahun akan datang.
"Buat masa ini, keputusan (Lembaga Pengampunan) adalah muktamad dan ia bukan sesuatu yang anda boleh cabar di mana-mana mahkamah undang-undang," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen DAP Ramkarpal Singh menggesa Lembaga Pengampunan menjelaskan sebab di sebalik keputusannya.
“Ini soal kepentingan awam. Oleh itu, saya menggesa Lembaga Pengampunan untuk menjelaskan sebab-sebabnya.
"Kegagalan berbuat demikian akan mencetuskan spekulasi bahawa keputusan tersebut adalah tidak wajar," katanya dalam satu kenyataan.
Bekas timbalan menteri undang-undang itu mengingatkan kerajaan bahawa Najib didapati bersalah oleh sembilan hakim dari Mahkamah Tinggi hingga Mahkamah Persekutuan - malah seorang hakim menggelar pembelaannya sebagai memalukan negara.
“Usaha kerajaan dalam memerangi rasuah telah terjejas teruk oleh perkembangan kes Najib kerana keseriusan kesalahannya diketahui di seluruh dunia.
“Perkembangan sebegini boleh mengakibatkan persepsi bahawa kerajaan tidak memandang serius terhadap ancaman rasuah.
“Oleh itu, tidak ada keraguan bahawa kes Najib bukan perkara biasa dan Lembaga Pengampunan harus mendedahkan sebab untuk meringankan hukuman Najib,” tambah Ramkarpal.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/11/62353fa77cf9e1e3a682037816ea52dd.jpg)
