Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS ajak turun solidariti kes cabar enakmen syariah Kelantan esok

PAS menyeru orang ramai terutama penyokongnnya untuk turun bersolidariti bagi mempertahankan undang-undang syariah di Mahkamah Persekutuan esok.

Ini berikutan mahkamah tertinggi itu akan membuat keputusan berhubung cabaran undang-undang oleh peguam, Nik ELin Zurina terhadap 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata, semua pihak yang faham dan bersimpati dengan isu ini perlu menyatakan pendirian mereka.

"Kita sebagai parti dan kerajaan Kelantan atau defendan atau responden dalam kes ini ada hak untuk menggerak ataupun mengajak orang ramai yang memahami isu ini dan simpati untuk keluar nyatakan pendirian esok," katanya selepas mesyuarat ketua-ketua jawatankuasa portfolio Dewan Rakyat ke-15, Perikatan Nasional (PN) di pejabat Bersatu di Publika, Kuala Lumpur, hari ini.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kota Bharu itu menegaskan seruan itu bukan bertujuan untuk meminta penyokong melakukan kekecohan di mahkamah sebaliknya hanya menyatakan dukungan mereka.

"Kita bukan nak pergi terjah mahkamah, tapi hanya menunjukkan solidariti untuk pertahankan enakmen yang dibuat secara berperlembagaan dalam DUN Kelantan, itu sahaja.

"Statusnya sekarang ini, keputusannya akan diputuskan esok oleh mahkamah persekutuan yang dianggotai sembilan orang hakim ataupun kuorum penuh.

"Kita kena tengok esok apa keputusannya sama ada majoriti ataupun sebulat suara," katanya.

Awal hari ini, Pengerusi Bersatu Muhyiddin Yassin menggesa ahli parlimen khususnya yang beragama Islam untuk mempertahankan perundangan syariah.

Katanya, cabaran dibuat Nik Elin itu bakal memberi kesan dan impak negatif kepada sistem perundangan syariah bukan sahaja di Kelantan, tetapi seluruh negara.

Esok Mahkamah Persekutuan akan bersidang bagi membuat keputusan dalam kes petisyen yang difailkan oleh Nik Elin dan anak perempuannya Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman terhadap kerajaan negeri Kelantan bagi mengisytiharkan 18 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Jenayah Syariah negeri itu, terbatal dan tidak sah.

Pada 20 Nov tahun lepas, panel hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menangguhkan penghakiman selepas mendengar hujahan daripada pihak berkaitan.

Lihat Komen
ADS