Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO Indonesia, Pakistan bentang pelan bangunkan semula Gaza

Aqsa Working Group (AWG) dari Indonesia mempunyai perancangan besar untuk menyumbang kepada usaha pembinaan semula pascaperang di Gaza dengan membina semula Hospital Indonesia di utara Gaza dan hospital khusus untuk kanak-kanak dan wanita di selatan Gaza.

Pengerusi AWG Nur Ikhwan Abadi berkata kumpulan itu memulakan kempen mengumpul dana pada November tahun lepas untuk mengumpul kira-kira AS$5 juta untuk projek hospital.

"Kempen itu sedang berjalan dan kami mengalu-alukan sumbangan daripada organisasi dan individu yang berminat untuk menyokong usaha ini," katanya.

Nur Ikhwan menggariskan inisiatif utama kumpulan itu, pada program International Planning Session Post War Gaza Rebuilding yang mengumpulkan lebih 200 delegasi dari 23 negara bagi menyusun strategi hala tuju pembinaan semula pascaperang di Gaza.

Ini termasuk pembinaan semula Hospital Indonesia di utara Gaza serta penubuhan hospital untuk ibu dan kanak-kanak di selatan Semenanjung Gaza, kini sedang menunggu kelulusan daripada Menteri Kesihatan Gaza untuk memperoleh tanah yang diperlukan.

Nur Ikhwan berkata sehingga Ahad (11 Feb), hampir 80 pekerja dari Indonesia telah mendaftar dengan kumpulan itu dan bersedia untuk ke Gaza bagi menjayakan pelaksanaan rancangan berkenaan.

"Kami mempunyai tenaga kerja yang ramai di Indonesia...jika pekerja tambahan diperlukan, kami sedia menyediakannya, insya-Allah," katanya.

Selain usaha oleh AWG, Presiden Yayasan Alkhidmat Pakistan Prof Dr Hafeez ur Rahman berkata pihaknya turut merancang untuk membina sebuah hospital di Gaza yang dilengkapi dengan bekalan perubatan dan kakitangan dari Pakistan.

Yayasan itu mempunyai lebih 2,000 doktor kanan yang telah mendaftar untuk berkhidmat secara sukarela di Gaza.

"Apabila mendapat kebenaran, kami akan mengerahkan pegawai perubatan kanan dan menghantar 20 ambulans ke Gaza," kata Prof Dr Hafeez.

Selain itu, yayasan berkenaan juga menyasarkan untuk memulihkan lima sekolah, serta bekerjasama dengan sebuah syarikat Malaysia untuk memasang 30 loji kuasa suria dan loji penyahgaraman di Gaza.

- Bernama

Lihat Komen
ADS