Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali berkata kenyataan mengenai kajian kerajaan terhadap Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan dibuat tidak lama lagi.

Dia berkata, kenyataan itu akan dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

“Pagi ini kita ada perbincangan dengan perdana menteri (Anwar Ibrahim) tentang apa yang kita akan bawa ke kabinet. InsyaAllah satu kenyataan akan dibuat (oleh Wan Ahmad Dahlan), saya rasa ia hampir dimuktamadkan.

“Ini menunjukkan kerajaan mengutamakan penjawat awam, kerana sudah 12 tahun tiada kenaikan gaji. Mungkin pelarasan setiap satu hingga dua tahun.

“Perkara ini bukan baru-baru ini, tetapi sudah lama dibangkitkan. Nampaknya kerajaan hari ini cukup berani untuk melaksanakannya,” katanya.

Pada 20 Jan lepas, Jabatan Perkhidmatan Awam berkata Laporan Interim 1 Kajian Semula SSPA telah diserahkan kepada perdana menteri pada 19 Jan.

Ketika membentangkan Belanjawan 2024 tahun lepas, Anwar berkata pelaksanaan penuh SSPA akan bermula pada 2025, susulan kajian menyeluruh.

Dia dipetik minggu lepas berkata bahawa hasil kajian SSPA akan diumumkan selewat-lewatnya akhir tahun ini, dan penemuannya akan dibentangkan kepada kabinet dalam tempoh tiga bulan akan datang.