Polis kenal pasti suspek ugut bunuh Nik Elin
Polis telah mengenal pasti individu di sebalik tiga akaun media sosial yang didakwa membuat ugutan bunuh terhadap peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid.
Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid dilaporkan berkata, polis telah membuka tiga kertas siasatan berkenaan ugutan yang dibuat terhadap Nik Elin, dan satu kertas siasatan telah siap.
"Tahun lalu, Nik Elin buat tiga laporan, kita buka tiga kertas siasatan dengan satu daripadanya sudah selesai dan ada dengan TPR (timbalan pendakwa raya).
"Dua lagi laporan masih dalam siasatan dan kita akan lengkapkannya dalam masa terdekat untuk serahkan kepada TPR," katanya seperti dipetik Berita Harian.

Menurut laporan Kosmo, Allaudeen berkata polis belum membuat tangkapan terhadap suspek.
Terdahulu, Nik Elin membuat laporan polis setelah menerima ugutan bunuh ekoran langkahnya memfailkan petisyen mencabar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
Ugutan tersebut termasuklah untuk "sembelih" peguam kelahiran Kelantan itu.
Pada Jumaat lalu, panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan dengan keputusan 8-1 membenarkan petisyen peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman untuk membatalkan 18 peruntukan dalam enakmen tersebut.
Mahkamah memutuskan DUN Kelantan melangkaui bidang kuasanya seperti yang termaktub dalam Senarai Negeri (Senarai II), Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, mahkamah yang membenarkan pembatalan 16 daripada 18 peruntukan tersebut.
Susulan keputusan itu, Nik Elin berkata dia dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman bukannya menyerang sistem Syariah seperti yang didakwa sejumlah pihak, sebaliknya ia berkaitan bidang kuasa DUN Kelantan.
"Perkara penting yang perlu dinyatakan adalah enakmen jenayah syariah (yang dicabar) adalah hukuman takzir. Ia bukan hudud, ia bukan qisas," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/09/03ebf43d65b19ff5fe89bf015bd5c591.jpg)
