Senator Sivarraajh gesa Mitra tubuh sekretariat khas
Ahli Dewan Negara C Sivarraajh menggesa Unit Transformasi India Malaysia (Mitra) menubuhkan tiga sekretariat khas untuk merangka strategi menjaga hal ehwal masyarakat India.
Sivarraajh yang juga bekas ahli Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas (JPPK) Mitra berkata pembentukan tiga sekretariat itu selaras dengan cadangan pengerusi baru Mitra P Prabakaran yang akan menubuhkan unit khas di bawah Mitra.
"Untuk menangani isu kritikal berikut tentang kesusahan kaum India, saya mencadangkan Mitra menubuhkan sekretariat urusetia untuk menguruskan kemasukan pelajar ke universiti, politeknik dan matrikulasi.
"Sekretariat Pemerkasaan Perniagaan India: untuk memudahkan dan menyegerakan Tekun, Agro Bank, geran PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) dan inisiatif lain dengan komuniti.

"Sekretariat ketiga untuk mengurangkan dan menangani kemiskinan bandar masyarakat India," katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Menurutnya, ketiga-tiga sekretariat ini penting kerana kerajaan masih belum mencipta atau melaksanakan pelan pembangunan yang jelas untuk masyarakat India.
Terdahulu, Prabakaran (gambar atas) berkata beberapa unit khas akan ditubuhkan untuk memantau program-program yang dilaksanakan di bawah Mitra.
"Ini adalah langkah pertama saya. Sebut sahaja Mitra, orang cakap rasuah dan penyelewengan. Ianya mesti diselamatkan daripada kelemahan ini.

"Matlamat utama Mitra adalah untuk menjalankan projek transformasi kepada masyarakat India. Jadi, Mitra tidak boleh memantau masalah masyarakat India.
"Tetapi, di bawah pimpinan saya, unit khas akan ditubuhkan di bawah Mitra untuk memantau isu masyarakat India," katanya.
Pada 7 Feb, Perdana Menteri melantik Prabakaran yang juga ahli parlimen Batu, sebagai pengerusi JPPK Mitra.
Mitra pada asalnya dikenali sebagai unit khas Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (Sedic) yang ditubuhkan pada 2014 sebelum dijenamakan semula sebagai Mitra pada 2018 dan diterajui oleh Kementerian Perpaduan Negara namun pada September 2022 ia telah dipindahkan di bawah seliaan JPM.

Pelantikan tersebut dibuat bagi menggantikan Ahli Parlimen Sungai Buloh R Ramanan (gambar atas), yang kini menjalankan tugas sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Sementara itu, timbalan presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) S Subramaniam (gambar bawah) berkata terdapat keperluan supaya Mitra meletakkan wakil pembangkang dan kalangan profesional dalam JPPK.
"Saya tak tanya untuk diri saya. Sesiapa sahaja dalam kalangan pembangkang dan golongan profesional daripada masyarakat India untuk lebih semak dan imbang.
"Kita nampak Mitra terus dihimpit isu rasuah dan penyelewengan. Terbaru, isu pemberian komputer riba refurbished," katanya kepada Malaysiakini.

Mitra - yang dilancarkan pada 2013 oleh Najib Razak - pada mulanya dikenali sebagai Unit Pembangunan Sosio-Ekonomi Masyarakat India (Sedic).
Ia ditubuhkan untuk membantu kaum India yang miskin meningkatkan kapasiti pendapatan mereka.
Sedic dibubarkan apabila kerajaan BN tumbang PRU ke-14 untuk digantikan dengan Mitra oleh pentadbiran PH.
Apabila PH ditumbangkan pada 2020, Mitra diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara.
Ia diletakkan semula di bawah Jabatan Perdana Menteri sejurus selepas kerajaan perpaduan dibentuk pada 2022 namun dipindahkan semula ke Kementerian Perpaduan Negara pada Dis tahun lalu.
Isu dana Mitra menjadi tumpuan pada 2021 berikutan penahanan beberapa pengarah syarikat yang disyaki menggelapkan dana diperuntukkan oleh agensi itu.
Sebanyak 337 syarikat, organisasi dan NGO dikenal pasti menerima geran dianggarkan berjumlah RM203 juta daripada Mitra antara 2019 dan 2021.
/file/1138/adbc4dd770705ebc384bbd0fbd242540.jpeg)
