Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penunjuk perasaan PJD Link buat demo senyap depan MB
Diterbitkan:  Feb 22, 2024 5:07 PM
Dikemaskini: 9:07 AM

Sekumpulan penunjuk perasaan mengadakan demonstrasi senyap menentang projek lebuh raya bertingkat Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) pada forum yang dihadiri Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Pihak berkepentingan merangkap pengerusi Residents Against PJD Link David Yoong berkata demonstrasi itu dilakukan kerana tema forum itu sejajar dengan isu yang mereka perjuangkan.

“Acara itu adalah forum mengenai pemanasan global dan alam sekitar. Apabila saya melihat poster acara itu, saya bertanya kepada ahli saya sama ada mahu melakukan demonstrasi senyap,” katanya kepada Malaysiakini.

Selepas terburu-buru menyiapkan poster, Yoong dan enam penunjuk perasaan lain menghadiri forum tersebut dan menunggu Amirudin menghabiskan ucapannya sebelum memasang dua kain rentang mereka.

Dua sepanduk itu mengandungi perkataan: “PJD Link membinasakan Alam Sekitar dan “PJD Link meningkatkan pemanasan".

“Selepas kami berdiri, kami sepatutnya berpusing dan menunjukkan sepanduk kepada hadirin yang lain. Tetapi penganjur menyuruh kami duduk, difahamkan kerana mereka fikir kami merosakkan majlis.

“Jadi apabila kami disuruh duduk, kami duduk. Mereka tidak bertindak kasar atau paksa kami,” katanya.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Majlis itu diadakan di PJ Live Arts Hall, Jaya One, Seksyen 13 semalam.

Daripada tujuh penunjuk perasaan, Yoong berkata hanya dua yang berdiri untuk mengelakkan terlalu banyak kekecohan.

"Semasa ucapan Amirudin, dia bercakap mengenai peranan negeri dalam menangani kebimbangan alam sekitar, tetapi pada masa sama, mereka masih mempertimbangkan projek yang merosakkan alam sekitar dengan kesan yang tidak dapat dipulihkan," katanya.

Yoong berkata keputusan untuk mengadakan bantahan itu adalah kerana kumpulan itu kecewa dengan sikap tidak responsif Amirudin terhadap surat dan memorandum mereka terhadap projek itu.

“Kemudian semasa acara itu, ketika Amirudin hendak menandatangani buku yang dilancarkan semasa forum itu, kami berdiri semula dan ketika itulah mereka merampas sepanduk kami dan merenyukkannya.

“Perjuangan saya bukan menentang penganjur. Tujuan saya ialah mahu memberitahu Amirudin bahawa ada orang yang menentang projek itu,” tambahnya.

Walaupun kerajaan negeri telah membatalkan lebuh raya itu pada Julai tahun lepas, Amirudin berkata projek itu akan dihidupkan semula jika ia memenuhi "keperluan" tertentu.

Yoong berkata buat masa ini, kumpulan itu tidak bercadang untuk mengadakan demonstrasi lagi dan akan membiarkan tindakan undang-undang berjalan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS