Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pandangan Hadi mungkin beri kesan macam 'Amanat Hadi'
Diterbitkan:  Feb 23, 2024 10:37 AM
Dikemaskini: 2:37 AM

Amanah berpendapat kenyataan Abdul Hadi Awang mengenai perlembagaan negara ini "mainan provokasi" daripada Presiden PAS dan mungkin membawa kesan seperti Amanat Haji Hadi.

Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil berkata adalah lebih baik untuk Abdul Hadi berhenti daripada memomok-momokkan orang ramai terutama umat Islam serta menanam kebencian kepada Perlembagaan Persekutuan.

Kata Faiz perlembagaan tersebut menjadi asas kepada pembentukan Malaysia serta mengangkat Islam sebagai agama persekutuan.

Perlembagaan yang sama juga, katanya, menjadi asas kepada kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera melalui perkara 153.

"Kenyatan terbaru Abdul Hadi yang menuduh Perlembagaan Persekutuan sebagai bom jangka dan anti-Islam adalah sangat tidak sihat.

"Kenyataan tersebut merupakan permainan provokasi seperti ‘Amanat Haji Hadi’ yang diisytiharkan sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan membawa kepada pecah belahnya umat Islam di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Hadi beberapa hari lalu sekali lagi mengulas mengenai keputusan mahkamah tertinggi negara yang membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan kerana bercanggah dengan perlembagaan negara.

"Peringatan" diberi ahli parlimen Marang itu turut melibatkan hakim dan raja-raja Melayu.

Tak jadi kelas kedua

Abdul Hadi 'berpesan' agar pihak terbabit membawa "wawasan akhirat" dan bukan "memandang kepentingan dunia di sini saja.

Malaysiakini hari ini pula melaporkan ada penganalisis politik berpendapat Abdul Hadi sebenarnya tidak benar-benar memahami perlembagaan dan apa yang diputuskan oleh mahkamah dalam kes berkenaan.

Menurut Faiz kenyataan Abdul Hadi mengenai kes yang dibawa peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman sangat tidak relevan.

Kata Faiz keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 kesalahan syariah Kelantan baru-baru ini berlaku kerana kekhilafan ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan yang meluluskan enakmen tersebut.

"Namun ini tidak bermaksud undang-undang syariah negeri terbatal.

"Enakmen syariah masih boleh dikuatkuasakan dan undang-undang Islam boleh diperluaskan di mana ada keperluan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Pemisahan kuasa antara persekutuan dan negeri tidaklah menjadikan undang-undang Islam kelas kedua (bahkan) pemisahan ini selaras dengan asas pembentukan dan struktur pentadbiran negara berasaskan prinsip federalisme seperti termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Lihat Komen
ADS