Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Korban kanak-kanak, wanita di Gaza enam kali ganda perang Rusia-Ukraine

Jumlah wanita dan kanak-kanak yang maut di Gaza sejak 7 Okt 2023 melebihi enam kali ganda berbanding mangsa yang terkorban dalam perang Rusia-Ukraine.

Agensi Anadolu telah merekodkan angka korban membabitkan orang awam dalam Perang Rusia-Ukraine sejak 24 Feb 2022 serta jumlah wanita dan kanak-kanak yang terkorban dalam perang Israel di Gaza.

Israel tanpa henti mengebom Palestin yang didiami hampir 2.3 juta penduduk.

Serangan itu telah mengorbankan 29,410 rakyat Palestin, termasuk sekurang-kurangnya 12,660 kanak-kanak dan 8,570 wanita.

Selain itu, 69,465 yang lain cedera dengan lebih 70 peratus merupakan wanita dan kanak-kanak.

Menurut sumber Palestin, Israel telah menggunakan lebih 66,000 tan bahan letupan dalam serangan itu, dengan purata 183 tan bahan letupan bagi setiap kilometer persegi di Gaza.

Gaza musnah secara keseluruhan manakala 1.9 juta penduduknya hilang tempat tinggal.

Memetik Misi Pemantau Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (HRMMU) di Ukraine, seramai 10,378 orang awam termasuk 579 kanak-kanak dan 2,992 wanita terbunuh manakala 19,632 yang lain cedera sejak krisis Rusia-Ukraine tercetus awal 2022.

Sejumlah 8,095 kematian berlaku di wilayah Ukraine manakala 2,283 korban direkodkan di wilayah yang dikuasai Rusia.

- Bernama-Anadolu

Lihat Komen
ADS