Sebanyak enam ekor lembu dan 10 ekor kambing disembelih di Parlimen hari ini untuk jamuan makan malam ini bagi merayakan perkahwinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan Datin Seri Jeanne Abdullah bulan lalu.

Lembu dan kambing tersebut disembelih di bawah khemah yang dipasang di zon tempat letak motosikal di dalam kawasan Parlimen. Jamuan tersebut adalah anjuran Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) bertempat di Dewan Bankuet Parlimen.

Bagaimanapun, di Dewan Rakyat beberapa ahli Parlimen pembangkang menyuarakan rasa tidak senang mereka terhadap apa yang berlaku itu dan menuduh rakan sejawatan mereka dari Barisan Nasional (BN) tidak sensitif terhadap agama lain.

"Ini adalah pertama kali insiden seumpama itu berlaku di Parlimen. Lagi pula, lembu merupakan binatang yang suci bagi agama Hindu," kata M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat).

Bagaimanapun, Speaker Ramli Ngah Talib menjelaskan bahawa penyembelihan lembu dan kambing itu merupakan amalan biasa dan bukan asing ketika mengadakan jamuan.

Berikutan itu, Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) berkata, beliau terperanjat apabila melihat trak mengangkut ternakan tersebut ke dalam kawasan Parlimen.

"Jika ianya satu amalan biasa, apakah ahli Parlimen lain juga boleh menyembelih binatang 'lain' di sini? soalnya.

Kulasegaran kemudiannya menggesa Speaker supaya jangan membenarkan lagi insiden seumpama itu berulang dan Ramli berjanji akan menyiasatnya.

Sementara itu, Pengerusi BBC, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (BN-Larut) menjelaskan bahawa jamuan tersebut dianjurkan dengan niat yang baik dan pihaknya tidak bermaksud untuk menyakitkan hati sesiapa juga.

"Ini adalah kali pertama PM berkahwin. Malah ia adalah satu sejarah dan kita mahu meraikan perkahwinan tersebut," katanya, sambil menambah daging teresbut juga akan disedekahkan kepada masjid-masjid berhampiran. Berita asal