Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Kerajaan diminta mempertimbangkan semula cukai-cukai baru termasuk kadar baru Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang didakwa akan membeban kepada peniaga dan rakyat.

Lim Guan Eng (Bagan-PH) sebaliknya berkata cukai-cukai baru ini boleh diperkenalkan semula apabila keadaan ekonomi kembali pulih.

"Saya meminta bahawa semua cukai baru termasuk kadar cukai SST dan cukai mewah boleh disemak semula. Kalau ia memberi beban kepada peniaga dan rakyat, ia boleh ditangguh kerana dan keadaan pertumbuhan ekonomi tidak menentu.

"Kita pun tahu bahawa keadaan ekonomi akan pulih akhir tahun ini termasuk nilai mata wang negara dijangka pulih separuh kedua tahun ini.

"Jadi, adalah diharapkan akan ada pertimbangan semula dan semak semula supaya cukai baru, kadar cukai SST yang kini ditambah kepada 8 peratus dipertimbangkan semula," katanya semasa perbahasan Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15.

Sebelum ini, kerajaan memperkenalkan Cukai Barangan Bernilai Rendah (LVG) 10 peratus bagi jualan dalam talian (e-dagang), Cukai Perkhidmatan Digital (DST) lapan peratus, serta Cukai Keuntungan Modal (CGT) dan Cukai Barang Bernilai Tinggi (HVGT) yang masing-masing 10 peratus.

Selain, SST juga dinaikkan kepada 8 peratus berbanding 6 peratus berkuatkuasa 1 Mac. Bagaimanapun kadar baru ini tidak merangkumi perkhidmatan untuk makanan dan minuman, telekomunikasi dan tempat letak kereta.

Kerajaan juga akan memperkenalkan cukai barang bernilai tinggi atau cukai barangan mewah bermula 1 Mei 2024. Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan semasa pembentangan belanjawan 2024.

Langkah-langkah ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan daya tahan kewangan negara sambil mengurangkan defisit belanjawannya.

Lihat Komen
ADS