Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kedah komited bangunkan jambatan darat di Sanglang
Diterbitkan:  Mar 5, 2024 5:53 PM
Dikemaskini: 9:53 AM

Kerajaan Negeri Kedah komited dalam merealisasikan pembangunan jambatan darat di Sanglang dalam Daerah Kubang Pasu sebagai persediaan menghadapi cabaran ekonomi global menjelang 2040.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata mesyuarat mengenai perkara itu telah diadakan dan kerajaan negeri berhasrat meluluskan pembinaan pelabuhan di Sanglang yang akan bersambung ke Songkhla melalui Segenting Kra, Thailand.

"Ini merupakan rahmat besar kepada Kedah dalam aspek infrastruktur dan difahamkan pembinaan laluan jalan dari pinggir pantai ke kawasan pelabuhan itu membabitkan kawasan seluas 4,000 ekar (lebih 1,600 hektar) hanya untuk jalan sahaja (termasuk Thailand dan Kedah).

"Jambatan darat ini akan memendekkan laluan pengangkutan barangan dagangan di seluruh dunia yang akan melalui Kedah," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Mohd Hayati Othman (PN-Tokai) pada sidang Dewan Undangan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman hari ini.

Mohd Hayati ingin tahu mengenai persediaan Kedah untuk menghadapi cabaran akan datang apabila Selat Melaka tidak lagi menjadi pilihan utama jika rancangan Thailand membina pelabuhan dan jambatan darat dengan usaha sama China berjaya dilaksanakan.

Muhammad Sanusi berkata komitmen kerajaan negeri untuk melaksanakan projek itu diharap tidak menerima bantahan daripada mana-mana pihak dan akan mendapat sokongan kerajaan pusat.

"Saya yakin hal sebesar ini bukan sahaja untuk Kedah tetapi untuk kepentingan negara, saya kira dengan sikap budiman pentadbiran Kerajaan Persekutuan akan memberi laluan sepenuhnya kepada pembinaan di Sanglang.

"Selain Sanglang, kita juga ada lapangan terbang kargo di Sidam, Kulim yang akan dibangunkan dan saya dengar mungkin ada berita gembira yang akan datang kepada kita apabila dalam Mesyuarat Menteri Besar bulan lepas bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya telah bangkitkan perkara itu," katanya.

Beliau juga berharap sektor swasta diberikan peluang untuk membangunkan projek itu demi pembangunan negara dan ekonomi rakyat sekali gus memastikan negeri itu dapat mencapai aspirasi 'The Greater Kedah.'

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS