Kerajaan Kedah disaran supaya melabur melalui anak-anak syarikatnya atau menarik pelabur luar bagi mewujudkan sebuah hospital pakar bertaraf antarabangsa di Langkawi untuk membolehkan pelancong asing mendapatkan rawatan kesihatan terbaik di pulau pelancongan itu.
Amar Pared Mahamud (PN-Kuah) berkata Langkawi yang tersenarai pada tangga kesembilan sebagai Pulau Terbaik di Dunia oleh majalah Travel Plus Leisure Readers 2023, seharusnya memiliki kemudahan hospital pakar bertaraf antarabangsa.
"Kerajaan negeri perlu melihat kepentingan untuk melabur bagi mewujudkan hospital pakar bertaraf antarabangsa. Selain itu, anak-anak syarikat milik kerajaan negeri disarankan untuk meneroka pasaran pelancongan kesihatan yang semakin mendapat perhatian pelancong," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman di Alor Setar hari ini.
Dalam pada itu, Amar Pared berkata kemudahan di Jeti Feri Penumpang Kuala Kedah dan Jeti Kuah di Langkawi juga perlu diberi perhatian berikutan ia tidak lagi mesra pengguna sedangkan kedua-dua jeti berkenaan merupakan pintu masuk utama ke pulau legenda itu.
"Saya mencadangkan agar laluan eskalator seperti di lapangan terbang dapat disediakan di Jeti Kuah bagi menghubungkan platform feri sehingga ruang menunggu di dalam jeti bagi memudahkan pengguna," katanya.
Sektor pelancongan telah menyumbang 16.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kedah dengan nilai RM8.517 bilion dan menjadi sektor kedua terbesar di bawah sektor perkhidmatan.
- Bernama
