Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pindaan perlembagaan: Muhyiddin harap ROS berlaku adil

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin meminta Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) berlaku adil dengan meluluskan cadangan pindaan perlembagaan parti itu.

Muhyiddin berkata dia bersama Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin akan ke ibu pejabat ROS bagi menyerahkan sendiri pindaan perlembagaan yang telah diluluskan dalam perhimpunan agung khas itu.

"Saya sendiri bersama Hamzah dan beberapa pimpinan tertinggi membawa keputusan yang telah dibuat dalam perhimpunan agung khas dan pindaan perlembagaan itu.

"Kita berharap pihak ROS memberi pertimbangan yang adil...dan dapat memberikan kelulusan secepat yang mungkin," katanya dalam sidang media majlis penutup Konvensyen PN di Kuala Lumpur, hari ini.

Bersatu pada 2 MAC lalu telah meminda perlembagaan parti itu dalam usaha untuk menghalang wakil rakyatnya berpaling tadah pada masa hadapan.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) dengan perwakilan parti sebulat suara menyokong usul untuk meminda Perkara 10 perlembagaan Bersatu.

Artikel itu menetapkan perkara berkaitan peletakan jawatan dan pemecatan ahli parti.

Muhyiddin menjelaskan pindaan tersebut bertujuan menghalang mana-mana ahli parlimen atau Adun Bersatu menyokong musuh parti itu.

Menurutnya, berikutan pindaan perlembagaan itu, mana-mana wakil rakyat Bersatu yang bertindak sedemikian akan terbatal keahlian mereka dalam parti itu serta merta.

Presiden Bersatu itu merujuk tindakan enam ahli parlimen partinya yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Mereka ialah Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), dan Suhaili Abdul Rahman ( Labuan).

Sementara itu, Muhyiddin berharap tiada lagi wakil rakyat Bersatu akan beralih sokongan selepas pindaan perlembagaan parti dan konvensyen PN yang berlangsung hari ini.

Katanya, semasa pertemuan bersama Adun Bersatu Selangor mereka menafikan terbabit usaha untuk menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

"Harapan kita begitu kerana yang hadir semua hari ini menunjukkan komitmen.

"Banyak yang datang jumpa saya (Adun Bersatu) dari Selangor tadi (kata) bukan saya, bukan kata mereka tidak mengaitkan kedudukan mereka selepas apa yang dilakukan oleh Adun Selat Klang," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS