Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP Ketereh dakwa kerajaan tawar CSA bersyarat kepada Hamzah
Diterbitkan:  Mar 15, 2024 2:36 PM
Dikemaskini: 6:36 AM

Seorang ahli parlimen Bersatu mendakwa kerajaan menawarkan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) kepada ketua pembangkang Hamzah Zainudin sebagai balasan untuk peruntukan bagi kawasan yang dikuasai Perikatan Nasional (PN).

“Sudah ada tawaran tandatangan untuk menyokong. Ada syarat-syaratnya. Kalau cakap macam itu (beri sahaja peruntukan) tidak mengapa, masalahnya ada syaratnya. Kalau syaratnya ketat bagaimana?” kata Ahli Parlimen Ketereh Khlir Mohd Nor, seperti dilapor Utusan Malaysia.

Dia berkata ahli parlimen pembangkang tidak bercadang untuk bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri Fadilah Yusof berhubung peruntukan itu selagi kerajaan mengenakan syarat.

Khlir berkata kerajaan tidak sepatutnya memasukkan syarat khusus untuk ahli parlimen menerima peruntukan itu.

“Kalau pun kami mahu peruntukan ini, kami hanya akan pergi secara konsensus Perikatan Nasional (PN) dan bukan secara perseorangan,” katanya.

November lalu, Anwar memberitahu Dewan Rakyat bahawa menyokong perdana menteri bukan syarat untuk peruntukan sama rata untuk ahli parlimen.

"Saya ingin menjelaskan supaya rakyat faham. Saya tidak menyekat peruntukan untuk mana-mana wakil rakyat.

“Apa yang saya mahu peraturan itu dihormati dan mengadakan perbincangan untuk peruntukan seperti yang dilakukan semasa pentadbiran dahulu.

"Tiada pra-syarat atau syarat bahawa sokongan mesti diberikan kepada perdana menteri," katanya.

Anwar juga kecewa kerana pembangkang menurutnya telah memanipulasi isu itu dan mengulangi komitmennya untuk menyediakan peruntukan sama rata kepada semua ahli parlimen seperti yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan.

Ketua whip pembangkang Takiyuddin Hassan menuduh perdana menteri menggunakan peruntukan itu untuk mendapatkan sokongan daripada ahli parlimen tertentu.

Dia berkata dana pembangunan kawasan itu perlu diberikan kepada ahli parlimen tanpa mengira fahaman politik mereka.

Setakat ini, enam ahli parlimen Bersatu telah menyatakan sokongan kepada kepimpinan Anwar.

Lihat Komen
ADS