Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siti Dhia Batrisyia ditemui selamat awal pagi tadi
Diterbitkan:  Mar 17, 2024 9:37 AM
Dikemaskini: 5:39 AM

Kanak-kanak yang dilaporkan hilang sejak Selasa lepas, Siti Dhia Batrisyia Mohd Chairil Anuar, 12, ditemui selamat ketika berjalan berseorangan di kawasan lot kedai di Sri Rampai, Kuala Lumpur pada jam 2.28 pagi tadi.

Ibunya Syarifah Rosfazila Syed Muhammad Fazili ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu.

Kata wanita itu, Siti Dhia Batrisyia ditemui anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Dang Wangi dan dimaklumkan kepadanya oleh Unit Rondaan Kawasan Rukun Tetangga Sri Rampai.

“Siti Dhia Batrisyia diserahkan kepada saya dan ketika ini kami berada di Hospital Kuala Lumpur bagi melakukan pemeriksaan kesihatan ke atas anak saya,” katanya.

Terdahulu dia turut berkongsi berita melegakan itu dalam kemas kini terbaharu di Facebook kira-kira 6.45 pagi.

“Allahuakbar… Allah Maha Besar. Dengan segala doa serta pertolongan daripada semua orang, anak saya Siti Dhia Batrisyia Mohd Chairil Anuar telah dijumpai dengan selamat.

"Kami jumpa dia berjalan berseorangan pada jam 2.28 pagi,” katanya.

Syarifah Rosfazila turut menyatakan ucapan terima kasih kepada semua pihak termasuk pasukan polis Dang Wangi atas usaha mengesan anaknya itu.

Bernama sebelum ini melaporkan ibu kepada Siti Dhia Batrisyia itu percaya anak perempuannya keluar dari rumah di Pudu di sini disebabkan oleh perselisihan faham.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata setakat ini seramai lapan saksi telah diambil keterangan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Kertas Enkuiri Polis (KEP) Orang Hilang dan siasatan lanjut bagi melengkapkan siasatan sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Dellhan berkata pihaknya menerima laporan polis berkenaan kejadian seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun hilang di kawasan Perumahan Awam Jalan San Peng pada 14 Mac lalu.

Menurutnya, polis mengatur gerak pasukan khas untuk mengesan kanak-kanak terbabit sebaik menerima laporan, dan pada jam 1 pagi tadi, dia dikesan berada di sekitar Taman Sri Rampai.

“Susulan maklumat tersebut, polis telah berjumpa dengan pihak rukun tetangga kawasan itu bagi mendapatkan maklumat lanjut dan pada masa sama ibu kanak-kanak itu telah menghubungi polis memaklumkan anaknya telah ditemui orang awam ketika sedang merayau seorang diri.

“Polis telah ke lokasi dan menemui kanak-kanak itu dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS